Wednesday 16 January 2013

Nike siasat isu gaji minimum



Jakarta: Pengeluar barangan sukan Amerika Syarikat, Nike, semalam berkata, syarikat itu sedang menyiasat dakwaan aktivis buruh mengenai cubaan pengilang di Indonesia mengelak membayar gaji minimum kepada pekerjanya.

Pengarah Komunikasi Korporat Global Nike, Greg Rossiter berkata, syarikat itu memberi perhatian serius terhadap dakwaan berkenaan.


“Kod amalan Nike sangat jelas.

“Kami mahukan pekerja yang menghasilkan barangan Nike diberi bayaran sekurang-kurangnya pada tahap gaji minimum ditetapkan undang-undang negara serta kemudahan lain,” katanya. Ekoran protes besar-besaran, kerajaan menetapkan gaji minimum di Jakarta meningkat kepada 2.2 juta rupiah (RM687) sebulan mulai 1 Januari lalu.


Kadar gaji minimum di bandar lain turut dinaikkan mengikut kadar berbeza. Gaji minimum ditentukan di peringkat wilayah dan daerah, tetapi pihak berkuasa memberi pengecualian kepada kilang yang gagal mematuhi kenaikan itu. Ketua Pertubuhan Bukan Kerajaan Pendidikan Untuk Keadilan (EFJ) AS, Jim Keady berkata, sekurang-kurangnya enam syarikat pembekal Indonesia memohon untuk pengecualian itu. Selepas EFJ melawat Sukabumi, pembekal Nike dilaporkan memperoleh pengecualian itu daripada pihak berkuasa tempatan dan mereka hanya diarah membayar gaji minimum RM343 sebulan. - AFP

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”