Wednesday, 16 January 2013

Padah ikut rasa!


"SETIAP kali sujud menyembah Yang Esa, saya rasa lebih penyesalan dan kekecewaan dengan kesalahan masa lalu, sedikit demi sedikit hilang. Bersyukur kerana Dia masih beri saya peluang untuk berubah," luah Ika, 21, penghuni Rumah Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam.

Ika yang dulu seorang gadis sosial dan liar, tak pernah mempedulikan keluarga, kini menjadi lebih tenang dan penyabar. Pengalaman mengajarnya menjadi seorang hamba Allah yang lebih baik.
Ketika sesi temuramah diadakan, Ika sedang sarat mengandung. Usia kandungan empat bulan tidak mematahkan semangatnya untuk berkongsi kisah hidup dan kekecewaan masa lalu dengan Gen.Y.

"Saya dimasukkan ke sini kerana kes khalwat. Kejadian berlaku tiga tahun lalu di Terengganu. Saya diterjah orang pejabat agama ketika sedang melakukan hubungan terlarang dengan teman lelaki di kedai dobi iaitu tempat kerja saya sendiri.


"Sebelum kejadian itu, saya sudah mempunyai rekod waran tangkap dengan pejabat agama kerana kesalahan lama. Sebelum ini saya pernah ditangkap kerana melakukan kesalahan sama di hotel. Disebabkan degil pada waktu itu, saya tak mahu memasuki mana-mana pusat perlindungan, saya terus lari ke Kuala Lumpur (KL) untuk mulakan kehidupan sendiri di sini," katanya.


Sejak kecil Ikan dibesarkan oleh keluarga angkat. Walaupun keluarga kandung tinggal berdekatan namun hubungannya dengan mereka tidak rapat.

Katanya, apabila meningkat dewasa, dia mula rasa bebas. Pengaruh rakan dan keinginan diri sendiri terus membuatkan dia sesat hingga sanggup melakukan perkara yang ditegah dalam agama.

"Saya tamat sekolah ketika tingkatan satu. Lepas berhenti sekolah, saya terus kerja di kedai makan. Masa itu saya mula liar, bergaul dengan kawan-kawan hingga sanggup mencuba pelbagai benda baru. Semuanya atas rasa memberontak dicampur keinginan untuk mencuba, membuatkan saya lupa diri.

Cerita Ika, dia mengenali teman lelaki yang pertama di tempat kerja. Dia adalah salah seorang pelanggan tetap di situ dan oleh kerana kerap datang untuk makan di kedai, mereka mula berkawan.



"Dia pandai memujuk. Saya akui, selepas beberapa ketika pertahankan maruah diri, saya cair. Cair dengan pujuk rayu hingga sanggup menyerahkan 'mahkota' yang saya jaga selama ini. Saya serahkan kesucian diri pada lelaki yang tak sepatutnya. Memang menyesal.

"Saya menyesal kerana kebodohan diri. Terlalu ikut nafsu hingga tak tahu bezakan baik dan buruk. Selepas beberapa tahun berkawan, dia mula tunjuk perangai sebenar. Mula 'naik tangan', tampar dan terajang, ibarat makanan saya. Walaupun kesal, tapi sekurang-kurangnya saya tahu perangai sebenar dia sebelum kahwin," katanya.

Ditanya mengenai kandungannya kini, Ika berkata, ia adalah hasil hubungan dengan teman lelaki yang dikenali dari kampung halamannya.

Katanya, selepas putus hubungan dengan teman lelaki lama, dia berhenti kerja dan berpindah ke Kuala Lumpur. Ketika itu juga dia mengenali lelaki kedua dalam hidupnya.

"Hubungan saya dan teman lelaki baru, berjalan lancar. Dia tinggal di Terengganu, dan disebabkan jarak jauh, dia selalu turun ke KL untuk berjumpa dengan saya. Ketika itulah semuanya berlaku.

"Bila rindu membuak, kami 'memadu kasih' di kedai dobi, tempat saya bekerja. Dan tanpa berfikir panjang, kami terlanjur hingga menyebabkan saya mengandung. Mujurlah dia ada beritahu nak bertanggungjawab dan tunggu saya keluar dari sini," katanya.

Membayangkan kehidupannya kelak, Ika berkata, dia merancang untuk melahirkan anaknya di rumah perlindungan itu memandangkan tempoh dia di situ berakhir Oktober nanti. Dan apabila semuanya selesai, dia turut merancang untuk berkahwin dan hidup secara sah bersama teman lelakinya.

"Kalau nak ikutkan, tempat saya sepatutnya di dalam penjara, bukan di sini. Saya tak boleh nak bayangkan bagaimana melahirkan anak di penjara, entah bagaimana keadaannya," katanya.

Ditanya mengenai pendapatnya mengenai lelaki zaman sekarang, Ika berkata, perempuan perlu lebih berhati-hati memilih kawan. Tak semestinya kita mengenali seseorang itu baik dan dia akan terus berkelakuan baik sepanjang hidupnya.

"Semuanya bergantung kepada iman seseorang. Kalau kita terlalu ikut telunjuk nafsu, kita akan lalai dan sesat. Dan apa yang pasti, kita sering lupa kepada-Nya kalau kita terlalu gembira hingga sanggup lakukan apa saja. Allah SWT itu ada, dia akan tunjuk juga kebenaran untuk sedarkan kita," katanya.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”