Wednesday, 16 January 2013

Impian penghibur Acheh



Sememangnya penantian itu satu penyiksaan, namun tidak bagi pendatang baru seni suara Indonesia, Yuka Kharisma. Bahkan, tempoh lima tahun diambilnya untuk menimba pelbagai pengalaman mempersiapkan diri sebagai penghibur dirasakan langkah yang cukup tepat.

Apatah lagi, hanya berbekalkan secebis pengalaman sewaktu menyertai program realiti TV popular, Indonesian Idol musim kelima lalu yang membuka langkahnya dalam bidang seni diakui masih tidak kukuh untuk dijadikan batu loncatan pada kejayaan diimpikan.

Bersua dengan Yuka pada sesi fotografi khas diatur dengannya di Butik Cosry Purple Label, The Curve, Mutiara Damansara, kelmarin mengungkap kisah kedatangannya ke negara ini.

Kata gadis berusia 25 tahun dari Acheh ini, dia kini sudah menghasilkan dua single baru hasil kerjasama dengan komposer ternama Indonesia, Pay dan Dewiq yang pernah menghasilkan lagu untuk penyanyi terkenal Indonesia seperti Rossa, Agnes Monica dan Krisdayanti.


“Bekerjasama dengan mereka adalah peluang keemasan tidak diduga. Saya amat berbesar hati dapat mendendangkan lagu Kita Harus Percaya dan Ku Bersedia ciptaan Pay dan Dewiq itu. Apatah lagi, ia ternyata bukan peluang mudah tanpa usaha gigih yang saya lakukan sepanjang lima tahun ini.


“Saya melihat bukan senang untuk menjadi seorang penghibur yang berjaya. Ia pastinya memerlukan waktu dan usaha keras tanpa jemu untuk saya mempersiapkan diri dalam memantap­kan persembahan serta mematangkan vokal,” katanya.

Yuka yang turut berkebolehan mencipta lagu berkata, dia sangat bersyukur kerana sering menerima undangan nyanyian di Indonesia dan Malaysia.

“Bagaimanapun, untuk percubaan awal ini saya lebih bersedia mendendangkan lagu ciptaan komposer lain seperti Pay dan Dewiq. Apa lagi, dua lagu dihasilkan mereka itu cukup sesuai dengan vokal dan selesa juga pada jiwa saya yang meminati muzik pop.

“Apapun, diharapkan ia diterima baik pendengar muzik di Malaysia seiring dengan impian saya untuk mencuba nasib menembusi pasaran di sini. Saya juga bekerjasama dengan komposer Malaysia iaitu Azlan Abu Hassan,” kata anak ketiga daripada empat beradik ini.

Berbicara mengenai pembabitannya dalam Indonesian Idol, Yuka berkata, pencapaiannya tidak­lah sehebat mana kerana tersingkir awal, tetapi apa
yang penting ia bukanlah suatu pengakhiran baginya untuk menggilap bakat nyanyian dimiliki.

“Dalam soal ini, saya sentiasa percaya bahawa bersandarkan kemahuan pasti ada jalannya. Malah, fokus juga penting untuk membangkitkan semangat diri yang mana harus sentiasa percaya pada bakat dimiliki apa lagi tidak mudah berputus asa.

“Bukan itu saja, saya juga berlatih setiap hari kerana ia adalah proses pembelajaran yang berterusan.

Jangan cepat berasa selesa kerana sebenarnya masih banyak harus diperbaiki untuk menjadi lebih baik,” katanya yang diuruskan Mentari Management untuk proses rakaman lagu dan publisiti.

Memiliki ketinggian 171 sentimeter, gadis berkulit putih persis model ini memaklumkan dia kini selesa hanya bergelar penyanyi saja dan tidak pernah lagi terlintas di fikirannya untuk aktif di pentas peragaan.

Bersedia menimba pendedahan dan pengalaman menyanyi di kelab dan pusat beli-belah, Yuka berkata, dia juga bukan seorang yang terlalu cerewet, baginya sudah memadai asalkan tempat itu sesuai untuk dia berkarya dan menonjolkan bakat.


Pernah menetap di Malaysia

Mendapat sokongan sepenuhnya daripada ibu bapa dan keluarga untuk aktif sebagai penyanyi, Yuka memilih untuk mencuba nasib menembusi pasaran muzik Malaysia kerana yakin dengan penerimaan baik daripada pendengar di negara ini.

Apatah lagi, Yuka turut berpengalaman menetap di negara ini selama dua tahun pada 2003 kerana mengikut bapanya, Rudi Kardiman yang bertugas di Sungai Petani, Kedah. Malah, Yuka juga pernah bersekolah menengah di sini.

Berkongsi kisah lalunya yang pernah menetap di Malaysia, Yuka berkata antara negara ini dan tanah air tumpah darahnya, Indonesia tidak banyak beza. Ujarnya, bahasa dan budaya Malaysia juga tak jauh beza dengan Indonesia.

“Bahkan, makanan pilihan juga tiada bezanya kerana penduduk Malaysia dan Indonesia selesa memilih nasi sebagai juadah harian. Malah, di Malaysia juga cukup popular dengan nasi lemak manakala Indonesia tentunya ayam penyet.

“Bagaimanapun, kedua-duanya tetap saja enak. Bahkan, apa yang pasti saya boleh sesuaikan diri dengan masyarakat di sini. Tiada masalah rasanya dan atas sebab itu juga diharapkan single saya ini akan menjadi kesukaan ramai,” katanya.

Pun begitu, mende­ngarkan lenggok vokal Yuka ini, ia persis seperti Bunga Citra Lestari dan ada kalanya umpama Anggun Cipta Sasmi. Namun, Yuka menegaskan dia seorang penyanyi tersendiri yang tidak cuba meniru sesiapa.

“Saya selesa menyerahkan segala penilaian dibuat oleh pendengar. Ini kerana, berdirinya saya di dalam industri muzik ini berpaksikan bakat seni sendiri. Justeru, jauh sekali untuk saya meniru gaya sesiapa.

“Oleh itu, saya tidak pernah bimbang atau marah sekiranya ada pendengar mengatakan vokal saya mirip Bunga atau Anggun kerana mungkin ia secara kebetulan. Pada saya, Yuka masih tetap berdiri teguh dengan identiti sendiri,” katanya.

Apatah lagi, sebagai insan seni dia me­ngakui amat mengharapkan karyanya dihargai. Yuka berkata memang menjadi harapan utamanya pun untuk dikenali ramai dengan bakat seni dimiliki. Malah, tidak salah dia mencuba.

Meminati muzik sejak kanak-kanak, Yuka berkata penghibur antarabangsa yang menjadi digemarinya ialah Whitney Houstan, Mariah Carey dan Sting. Manakala, penyanyi Malaysia yang cukup dikagumi pula adalah Ning Baizura dan Datuk Shiela Majid.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”