Friday, 3 May 2013
Chef Joe anggap perselisihan selesai
Kuala Lumpur: Juri tetap rancangan realiti masakan popular MasterChef Malaysia Selebriti musim kedua (MCMS2), Moh Johari Edrus atau Chef Joe menganggap perselisihan faham yang timbul antara dirinya dengan aktor juga peserta MCMS2, Zain Saidin sudah selesai.
Sebelum ini dalam episod Isnin lalu yang disiarkan Astro Ria, ramai penonton setia rancangan terbabit mengecam Zain kerana dikatakan bersikap biadap terhadap juri tetap MCMS2, terutama Chef Joe. Tidak kurang ada mengaitkan sikapnya dengan rancangan popular dibintanginya, Oh My English yang turut disiarkan Astro dan mendakwa Zain tidak sesuai memegang peranan sebagai guru gara-gara episod MCMS2 itu.
Sebelum itu, Zain memberikan kenyataan apa yang dipaparkan itu hanya sebahagian daripada lakonan dan pihak produksi cuba memerangkapnya dengan menampilkan dirinya dalam situasi berkenaan.
Diminta mengulas kembali kenyataan diberikan kekasih kepada pelakon popular Rozita Che Wan itu, Chef Joe menjelaskan, dia tidak mahu mengulas lanjut, memandangkan pertelingkahan antara mereka sudah diselesaikan.
“Juri MCMS2 dijemput menjadi tetamu rancangan MeleTop, kelmarin. Pihak produksi turut menjemput Zain. Dalam program itu Zain sudah memohon maaf terhadap tindakannya.
“Saya bersama dua lagi juri iaitu Chef Zubir dan Chef Amran sudah pun memaafkan Zain. Secara tidak langsung apa saja isu dan perkara yang cuba dibangkitkan pada anggapan kami ia sudah pun selesai,” katanya.
Labels:
News
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment