Friday, 3 May 2013

Johan As’ari Tolak Babak Sentuh Wanita Lepas Balik Umrah

Baru dua tahun bergelar pelakon, Johan Arif As’ari sudah mula meletakkan syarat sebelum bersetuju menandatangani sebarang kontrak.
Sejak kembali dari menunaikan umrah 8 April lalu, pemuda ini mahu mengelak daripada melakonkan watak yang memerlukannya bersentuhan dengan pelakon bukan muhrim.

p/s : Bagus..berubah ke arah kebaikan..


Hasrat itu, menurutnya, terbit atas rasa tanggungjawab sebagai seorang Islam. Bagaimanapun, pada masa sama, jejaka berusia 26 tahun bimbang seandainya satu hari nanti dia sendiri terlupa mengotakan janji terbabit.
“Niat untuk berubah timbul sekembalinya dari Tanah Suci. Tiada siapa memaksa, tetapi keinginan ini terbit atas kesedaran sendiri. Selama ini saya terlalu leka sehingga melanggar perkara yang tidak boleh dilakukan.
“Kalau boleh, saya mahu mengelak daripada adegan yang memerlukan saya bersentuhan. Saya tahu, pasti ia akan menyukarkan produksi, terutama jika sentuhan itu membabitkan watak ibu dan anak. Lihatlah bagaimana nanti, namun saya berharap apa yang saya niatkan ini dapat ditunai dengan sempurna.
“Bukan apa, saya juga manusia yang tidak terlepas daripada kesilapan. Mungkin hari ini saya kata tidak mahu lagi bersentuhan, tetapi esok lusa saya sendiri melanggar janji. Jadi, saya berharap peminat dapat memaafkan andai perkara itu terjadi,” katanya.
Umrah lebih sempurna
Dedah Johan lagi, perasaan dapat menjejakkan kaki buat kali kedua ke Makkah benar-benar berbeza, berbanding kunjungan pertama tahun lalu.

Katanya, kali ini dia dapat rasa keajaibannya sebelum berangkat ke sana lagi. Mungkin ia berkat niatnya kali ini, iaitu hanya untuk beribadat, manakala kunjungan pertama dulu lebih kepada kerja. Justeru, dia berpeluang melakukan ibadat lebih sempurna berbanding sebelumnya.
“Hasrat menunaikan umrah kali ini dipermudahkan. Pada mulanya saya sendiri berbelah bahagi untuk ke sana kerana keadaan kewangan tidak begitu mengizinkan. Mungkin dengan niat ikhlas, rezeki saya dipermudahkan. Pada petang saya buat keputusan untuk pergi, tiba-tiba saya menerima cek untuk drama lakonan saya yang masih tertunggak.
“Alhamdulillah, sepanjang di sana juga ibadat saya lebih khusyuk. Sebelum ini saya ke sana kerana menjayakan penggambaran drama Syahadah Cinta dan Tersalah Cinta. Sambil bertawaf, fikiran asyik ingat babak apa yang perlu saya lakukan selepas itu. Jadi, saya rasa ketika itu ibadat seperti tidak sempurna. Kali ini saya bersyukur kerana dapat melakukan umrah sebanyak dua kali. Setiap kali sembahyang pula, saya melakukan tawaf sunat,” katanya.
Gembira Nabila ada kekasih
Sementara itu, ketika ditanya perasaannya selepas mendapat tahu teman baiknya, Nabila Huda, sudah bertemu cinta hati, Johan terus ketawa. Tegasnya, dia tentu sekali tumpang gembira melihat kebahagiaan rakannya.
Ujarnya, sewaktu menunaikan umrah, dia juga tidak lupa mendoakan kesejahteraan wanita yang pernah rapat dengannya itu. Malah, doanya seperti didengar Tuhan apabila keesokan harinya dia terbaca pengakuan Nabila mengenai hatinya yang sudah dimiliki DJ Nas-T.
“Saya tidak kecewa, sebaliknya tumpang gembira melihat Nabila bahagia. Kami tidak pernah bermusuh, malah sesekali masih berkomunikasi di Twitter. Saya akui kami semakin jarang berhubung di telefon. Lagi pun, dia sudah mempunyai kekasih, jadi saya perlu hormati perasaan temannya itu,” kata Johan yang turut mendoakan dirinya dipertemukan dengan jodoh yang baik.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”