Alor Setar: Kesilapan seorang anak membeli ubat menghapuskan serangga perosak tanaman membawa padah apabila ibunya menemui ajal selepas mengalami sesak nafas sebaik menyapu cecair yang disangkakan ubat kutu di Kuala Kedah, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari, mangsa berusia 77 tahun yang juga ibu kepada empat anak dikatakan menyapu cecair berkenaan pada kepalanya sebelum rebah dan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Sebelum itu, mendiang menyuruh anak perempuannya berusia 40-an membeli ubat kutu rambut di farmasi berhampiran kerana tidak tahan menggaru di kepalanya akibat banyak kutu.
Bagaimanapun, anak perempuannya itu tersilap membeli cecair untuk racun perosak tanaman berharga RM18 sebotol lalu diberi kepada ibunya.
Difahamkan, warga emas itu menyapu cecair berkenaan pada rambutnya untuk mematikan semua kutu di kepalanya tetapi tidak menyangka tersilap menggunakan cecair itu yang hanya digunakan untuk tanaman.
Seorang anak lelaki mangsa berkata, sebelum itu, ibu mereka duduk di laman belakang rumah dan beberapa minit kemudian warga emas terbabit mengadu sesak nafas dan jatuh ke lantai.
No comments:
Post a Comment