Komputer riba milik pengacara dan pelawak, Zizan Razak dimaklumkan telah hilang di dalam pesawat tambang murah hujung minggu lalu.
Bagaimanapun, pengurus Zizan Razak telah memberitahu komputer riba itu sudah pun dijumpai selepas mendapat bantuan daripada kakitangan penerbangan berkenaan.
“Syukur Alhamdulillah, komputer itu sudah pun dijumpai. Nasib baik kami menerima bantuan ikhlas dari kakitangan yang jujur itu.
“Sebenarnya, komputer itu bukanlah milik peribadi Zizan tetapi ia adalah milik saya.
“Komputer berkenaan digunakan untuk urusan kerjaya Zizan. Apa sekalipun, saya mahu berterima kasih kepada kakitangan tersebut kerana sudi membantu untuk mencarinya.
“Terima kasih juga kepada Zizan kerana dia sanggup berlari semula ke dalam kapal terbang untuk mencari,” katanya.
Meneruskan penjelasan, pada awalnya mereka tidak sedar bahawa komputer berkenaan telah tertinggal dalam kapal terbang berkenaan.
“Selepas menyedari komputer itu tidak berada di tangan saya, Zizan terus berlari masuk semula ke dalam pesawat itu untuk mencarinya.
“Pada mulanya Zizan tidak menemuinya, namun selepas diperhatikan kakitangan penerbangan, barulah salah seorang daripada mereka bertanyakan adakah dia sedang mencari sesuatu.
“Nasib baiklah Zizan segera masuk ke dalam dan mencarinya. Jika lambat, mungkin kami tidak lagi dapat menjumpai komputer itu. Saya rasa lega kerana terlalu banyak urusan kerja ada di dalamnya,” jelasnya.
Sementara itu, Marina memberitahu bahawa dia dan Zizan baru saja pulang dari Singapura untuk sebuah persembahan makan malam sebuah syarikat terkemuka di Singapura.
Pada persembahan itu, Zizan bertindak sebagai pengacara manakala artis jemputannya adalah Taufik Batishah dan Hardi Mirza.
Minggu depan, Zizan sekali lagi akan terbang ke Singapura kerana terlibat dengan persembahan berkaitan program Maharaja Lawak bersama bintang lawak terkenal tanahair.
No comments:
Post a Comment