Wednesday 20 June 2012

Zizan Gembira Dapat Jumpa Juliana Evans


“Saya gembira dapat jumpa dia,” ujar pelakon serta pelawak Zizan Razak saat diajukan mengenai kepulangan pelakon Juliana Evans ke tanah air selepas lima bulan gadis kacukan itu berada di Amerika Syarikat bagi melanjutkan pelajarannya di sana.

Jue yang mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Perfileman, Video dan Media di Universiti Western Michigan tiba di tanah air, tiga minggu lepas bagi mempromosikan filem ‘Mael Lambong’ dan juga menjalani penggambaran filem ‘Dampak’.

“Sudah tentulah saya suka sangat dapat bertemu dengan dia sebab dah lama kami tak berjumpa. Lagipun dia merupakan kawan wanita saya yang paling rapat setakat ini. Ini kali kedua kami berjumpa sejak kepulangannya di mana kali pertama kami berjumpa di Terengganu. Saya tak sempat nak jumpa dia lama-lama sebab jadual saya padat sangat sekarang dengan waktu penggambaran,” ujar Zizan sejurus selesai majlis tayangan media filem ‘Mael Lambong’, malam tadi.

Menyentuh mengenai filem terbarunya itu, Zizan memberitahu, “Saya tak pernah jangka watak yang saya cipta bersama Johan dan Sabri Yunus di pentas Raja Lawak sebelum ini telah berada di layar perak. Bila filem ini dah keluar, lain macam saja semangat saya.

“Namun, saya agak sedikit terkilan kerana Johan tidak berada sekali dalam filem ini. Ini kerana waktu itu jadual dia tidak mengizinkan untuk dia berlakon bersama. Apapun, saya rasa ada baiknya Mael Lambong pergi dulu dan selepas ini baru watak Ah Chai. Kemudian, baru kita buat kedua-duanya sekali,” ujar Zizan teruja.

“Tidak dinafikan agak sukar juga untuk membawa watak Mael Lambong kerana saya tak nak lawak slaptik itu wujud. Bagi menampakkan kelainan, saya gunakan komedi gelap dalam filem ini. Saya rasa sejuk hati bila orang tonton filem ini dan mereka gelak.

“Bagi saya, ini cara saya untuk buat peminat rasa puas. Saya buat sesuatu perkara bukan sebab duit tapi saya buat untuk orang gembira. Saya harap orang akan sokong filem ini. Saya sayangkan Mael Lambong kerana ia memang sangat eksklusif buat saya.”

Bagi mereka yang ingin menyaksikan aksi menarik Zizan dan Jue dalam filem ‘Mael Lambong’, jangan lupa menonton filem terbaru arahan Ahmad Idham itu di pawagam berhampiran anda bermula hari ini (20 Jun 2012).


No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”