Wednesday, 20 June 2012

Pistol tiada kesan cap jari mangsa


Bapa mahu siasatan diteruskan
KOTA BHARU: Bapa kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun yang maut tertembak pistol bapa saudaranya pada 15 Jun lalu, terkejut apabila diberitahu polis tiada kesan jari milik anaknya pada pistol terbabit.

Noor Hisham Abdul Aziz, 50, berkata beliau dimaklumkan anggota Bahagian Forensik, siasatan yang dilakukan mendapati tiada kesan jari milik Muhammad Faris Faizal pada pistol digunakan dalam kejadian itu.
Saya mohon supaya nama anak saya dibersihkan kerana bukan dia yang memegang pistol ketika itu. Walaupun kejadian itu adalah kemalangan tetapi seboleh-bolehnya biarlah semua orang tahu yang anak saya tidak memegang pistol berkenaan. – Noor Hisham Abdul Aziz, bapa Muhammad Faris Faizal
Sehubungan itu, katanya, polis perlu melakukan siasatan lanjut bagi mencari puncanya.

“Saya diberitahu ketika kejadian anak saya bermain dengan dua sepupu dan adik bongsunya. Apa yang saya ingin jelaskan ketika kejadian bukan mangsa seorang saja yang berada di tempat kejadian.

“Walaupun kejadian sudah berlalu saya berharap mangsa tidak dianggap bermain pistol itu berseorangan sehingga tertembak di kepala,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Ketereh, di sini, semalam.

Katanya, pihak polis juga sudah menghubunginya bagi menyatakan hasrat bagi membawa tiga saksi ke Pulau Pinang bagi menjalani ujian poligraf.

“Saya sedih dengan kejadian yang berlaku kerana yakin dengan sepenuh hati arwah tidak memegang senjata api terbabit.

“Saya mohon supaya nama anak saya dibersihkan kerana bukan dia yang memegang pistol ketika itu. Walaupun kejadian itu adalah kemalangan tetapi seboleh-bolehnya biarlah semua orang tahu yang anak saya tidak memegang pistol berkenaan,” katanya.

Selain itu, katanya, beliau agak sedih mengenang kejadian itu terutama selepas dua hari kematian anaknya, beliau terjumpa sekeping kad ucapan Selamat Hari Bapa yang dilukis sendiri oleh arwah tersimpan di dalam beg sekolahnya.

Katanya, beliau diberitahu arwah mahu menyerahkan sendiri kad itu kepadanya walaupun ibunya sudah memujuknya beberapa kali untuk melihat kad yang dilukis itu.
“Walaupun kad dilukis itu agak ringkas amat besar maknanya kepada saya tambahan lagi dia kini sudah tiada,” katanya.


No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”