WARSAW, Poland – Meskipun tewas, jurulatih Rusia, Dick Advocaat tetap menganggap skuad kendaliannya itu merupakan pasukan yang lebih baik berbanding Greece.
Kenyataan Advocaat itu dilafazkan selepas anak-anak buahnya tewas 0-1 di tangan Greece pada aksi terakhir Kumpulan A kempen Euro 2012 di Stadium Nasional di sini awal pagi semalam.
Kekalahan itu sekali gus menyaksikan Rusia gagal mara ke peringkat suku akhir apabila sekadar menamatkan saingan peringkat Kumpulan A di tempat ketiga di belakang Republik Czech dan Greece.
Sebelum ini, Rusia dilabel sebagai pasukan pilihan untuk mara ke kelompok lapan pasukan terbaik selepas kejayaan menewaskan Czech 4-1 pada aksi pertama sebelum seri 1-1 dengan Poland.
Bagaimanapun, detik malang menyelubungi kem Rusia ekoran kekalahan di tangan Greece itu.
Biarpun berkongsi empat mata dan memiliki kelebihan jaringan, namun berdasarkan peraturan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Greece lebih layak ke peringkat suku akhir berdasarkan rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan.
Bagi Advocaat, beliau seolah-olah enggan meratapi kegagalan tersebut sebaliknya memuji persembahan barisan pemainnya pada pertemuan dengan Greece awal pagi semalam.
“Meskipun kami (Rusia) tewas di tangan Greece tetapi kami telah beraksi dengan baik pada babak pertama perlawanan.
“Namun, selepas Greece berjaya menjaringkan gol, segala-galanya telah berubah buat kami,” kata Advocaat.
Menurut beliau, kegagalan jentera serangannya menyudahkan beberapa peluang terbaik bagi menjaringkan gol awal jelas telah mengundang padah kepada pasukan tersebut.
Sebaliknya, Greece terlebih dahulu di depan hasil jaringan Giorgos Karagounis dua minit sebelum babak pertama tamat.
“Kami tidak memiliki ketajaman penyudah bagi menyempurnakan beberapa peluang terhidang untuk menjaringkan gol,” jelas Advocaat.
Ditanya mengapa masih mahu menerapkan corak permainan secara menyerang biarpun Rusia hanya perlu mencatatkan keputusan seri dengan Greece bagi membolehkan mereka ke peringkat suku akhir, Advocaat berkata: “Kami tidak mengharapkan keputusan seri.
“Kami beraksi pada kempen Euro kali ini adalah untuk mencatatkan kemenangan dan bukannya seri.
“Kami cuba untuk mengawal perlawanan, malah kami juga cuba untuk menentukan hala tuju perlawanan.” – Reuters
No comments:
Post a Comment