Monday, 9 July 2012

Konsert Misha, Rossa ditangguh



Persembahan di Istana Budaya tak jadi sebab tiada penaja

WALAUPUN mempertaruhkan dua nama besar, dua penyanyi vokal mantap - Misha Omar dan Rossa dari Indonesia, masih belum mampu 'menawan' hati penaja. Inilah yang berlaku pada dua penyanyi popular ini yang sepatutnya menjayakan Konsert Cinta: Diva Dua Negara di Istana Budaya, Kuala Lumpur selama tiga hari mulai esok.      

Pengarah Urusan CTRA Production, Siti Rohaya Attan berkata, dia lebih rela menangguhkan konsert daripada menanggung hutang kelak.

“Dalam keadaan sekarang, kita terpaksa akur dengan masalah kesukaran mendapatkan penaja. Ada pihak sedia menaja, tetapi meletakkan pelbagai syarat sehingga kami terpaksa menolak kerana tidak mampu memenuhi permintaan mereka.

“Memang tak dinafikan saya kecewa dengan apa yang terjadi. Apatah lagi bagi saya kolaborasi dua penyanyi itu sudah cukup sempurna tetapi nampaknya masih tidak berjaya memikat penaja,” katanya kepada HIP.

Siti Rohaya berkata, perancangan sudah dibuat termasuk mendapatkan khidmat pengarah muzik, Datuk Ramli MS bagi memimpin orkestra untuk konsert berkenaan.    

“Bagaimanapun, kita tidak berputus asa untuk meneruskan konsert Misha dan Rossa jika ada penaja,” katanya.

Dia berkata, industri teater juga berdepan masalah mendapatkan tajaan persembahan.

“Syarikat korporat lebih gemar menaja artis antarabangsa berbanding penyanyi tempatan. Malah penjualan tiket penyanyi tempatan juga tidak begitu memberangsangkan sejak akhir-akhir ini.

“Masyarakat kita terlalu manja kerana sering disogokkan konsert percuma, jadi secara tidak langsung ia mempengaruhi kuasa beli mereka.”

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”