Friday, 15 March 2013
BANK RAKYAT UMUM PEMBAYARAN DIVIDEN 18%
BANK RAKYAT UMUM PEMBAYARAN DIVIDEN 18%
Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 18 peratus kepada 947,541 ahlinya.
Ia terdiri daripada 16 peratus dividen tunai berjumlah RM440 juta dan dividen bonus dalam bentuk saham sebanyak dua peratus berjumlah RM55 juta yang akan ditambah ke dalam akaun sedia ada ahli-ahlinya.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pemberian dividen tersebut adalah hasil prestasi cemerlang bank koperasi Islam terbesar di Malaysia itu.
Pada tahun kewangan 2012 berakhir 31 Disember lalu, Bank Rakyat merekodkan peningkatan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak 4.7 peratus kepada RM2.11 bilion berbanding RM2.02 bilion tahun sebelumnya.
“Ini didorong oleh pertumbuhan pendapatan daripada pembiayaan dan deposit serta ditambah dengan kualiti aset yang kukuh walaupun berdepan dengan cabaran industri perbankan tempatan,” katanya.
Tambah Ismail Sabri, Bank Rakyat mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.74 bilion didokong oleh peningkatan pendapatan kasar sebanyak 13.2 peratus sebanyak RM6.23 bilion berbanding RM5.5 bilion tahun sebelumnya.
Manakala pendapatan bersih selepas agihan keuntungan kepada pendeposit turut meningkat sebanyak RM95.6 juta kepada RM3.34 bilion berbanding RM3.24 bilion sebelumnya.
Menyentuh mengenai perancangan masa hadapan bagi tahun 2013, Ismail Sabri berkata, Bank Rakyat memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM300 juta.
Ini melibatkan pembukaan tiga cawangan penuh, lima cawangan perkhidmatan, 20 cawangan Ar-Rahnu Exchange serta 100 mesin ATM dan deposit, selain penambahbaikan cawangan-cawangan sedia ada.
Labels:
News
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment