Friday 3 August 2012

Ibu, anak ditahan mabuk di pusat hiburan



KUALA TERENGGANU – Memalukan! Seorang ibu bersama anak gadisnya bukan sahaja tergamak mencemari kesucian Ramadan dengan berhibur di sebuah pusat hiburan, malah mereka dengan tidak rasa bersalah meneguk minuman keras di tingkat empat Plaza Perdana, di sini, awal pagi semalam.

Aktiviti maksiat kedua-dua beranak itu yang tinggal di Rumah Pangsa Bukit Depu, Kuala Ibai, di sini, terbongkar apabila mereka antara 52 pengunjung yang ditahan dalam serbuan ‘Ops Noda Bulan Ramadan’ oleh anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat daerah (IPD) Kuala Terengganu bersama anggota Penguat kuasa Syariah Kuala Terengganu.

Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 1 pagi itu, ‘si ibu’ yang berusia 34 tahun dan si anak 16 tahun ditangkap ketika sedang asyik menuang minuman keras sambil berhibur dengan dikelilingi lelaki bukan muhrim, rata-rata dalam kalangan buruh dan nelayan.

Kedua-dua beranak itu yang berpakaian menjolok mata ditahan bersama lima wanita dan tujuh lelaki di bawah Seksyen 23 (1) Enakmen Jenayah Syariah Takzim Negeri Terengganu 2001 atas kesalahan minum minuman memabukkan.

Turut ditahan, seorang pondan berusia 32 tahun atas kesalahan memakai pakaian dan menyamai perempuan di tempat awam.

Siasatan awal mendapati, dua beranak itu yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan sebelum ini pernah ditahan beberapa kali atas kesalahan sama dan didapati tidak pernah insaf.

Serbuan dilakukan selepas pihak berkuasa menerima maklumat berhubung terdapat premis yang membenarkan remaja bawah umur masuk dengan menawarkan pakej serendah RM10 sahaja jika tidak mahu minum minuman keras di samping turut menjalankan urus niaga lebih masa.

Dalam serbuan itu juga, beberapa botol minuman keras dan gelas minuman keras turut dirampas sebagai barang kes manakala tiga pekerja premis terbabit yang beragama Islam serta pemiliknya turut ditahan atas kesalahan menyediakan dan menjual minuman keras kepada orang Islam.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi Sinar Harian semalam mengesahkan tangkapan dan operasi berkenaan.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”