“BAM (Persatuan Badminton Malaysia) perlu tukar sistem dan program pembangunan harus diperhebatkan.”
Cukup pedas mesej yang disampaikan oleh jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei kepada BAM sejurus selepas meraih pingat perak dalam acara perseorangan lelaki Sukan Olimpik 2012 di Arena Wembley, London..
Menurut Chong Wei, selepas ini, BAM perlu fokus terhadap pemain junior dan berikan lebih banyak pendedahan kepada mereka di pentas antarabangsa.
Sebab itu katanya, program pembangunan sangat penting dan perlu diperhebatkan lagi jika mahu melihat pemain negara terus mengukir kejayaan pada kejohanan peringkat antarabangsa khususnya Sukan Olimpik.
“Saya sudah veteran dan mungkin boleh bermain dalam masa dua atau tiga tahun lagi. Sepatutnya sekarang kita sudah ada pelapis yang berdaya saing seperti China yang mempunyai ramai pemain hebat serta boleh menggegar dunia pada bila-bila masa sahaja.
“Mereka sekarang ada Lin Dan tetapi pelapis kepada Lin Dan sudah ada seperti Chen Long yang bakal menguasai sukan badminton selepas ini sebaik Lin Dan atau saya bersara,” kata Chong Wei.
Menurutnya, pemain junior seperti Liew Darren, Arif Latif mahupun Zulfadli Zulkifli harus kerap diberi pendedahan kerana dengan cara tersebut, ia membantu meningkatkan keyakinan serta prestasi mereka.
“Jika kita tidak memulakan daripada sekarang, masa depan sukan badminton negara bakal melalui zaman malap,” katanya.
Mengulas persembahannya sepanjang temasya di London, Chong Wei menjelaskan bahawa dia sudah memiliki keyakinan semula dengan prestasinya.
“Bukan senang nak dapat balik form. Selepas dua bulan setengah tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan kompetitif, saya tetap berjaya memberi saingan.
“Kejayaan mara ke final sudah menjadi satu kejayaan buat saya tetapi malangnya, saya gagal menghadiahkan pingat emas buat rakyat Malaysia,” katanya.
Untuk memburukkan lagi keadaan, program latihannya juga tidak konsisten kerana terpaksa melalui rawatan pemulihan dengan harapan kecederaannya pulih sepenuhnya sebelum Olimpik London bermula.
Atas kerja kuat serta kecekalannya menghadapi segala dugaan yang ditempuhinya, Chong Wei kembali pulih seperti biasa, namun masih ramai yang kurang yakin bahawa dia mampu menampilkan prestasi cemerlang di London.
Sebaik memulakan kempennya pada saingan peringkat kumpulan, Chong Wei tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa kecederaan yang dialaminya itu akan menjejaskan rentak permainannya.
Selepas itu, kelibat Chong Wei terus sukar disekat sehingga berjaya melangkah ke final dan tewas kepada juara bertahan, Lin Dan.
“Saya pun tidak percaya boleh beraksi dengan baik. Bayangkan sudah hampir tiga bulan tidak menyertai mana-mana kejohanan dan memang sukar untuk mengembalikan form seperti biasa.
“Apa pun, yang penting kita perlu bekerja kuat dan berusaha sebaik mungkin untuk meraih kejayaan. Saya berharap agar pemain-pemain muda kita mempunyai semangat yang sama untuk bekerja lebih keras lagi bagi meningkatkan prestasi.
“Saya mungkin tidak dapat beraksi pada Sukan Olimpik akan datang dan sebab itu penting untuk memberikan lebih banyak pendedahan kepada pemain junior kita.
“Bukan hanya untuk acara perseorangan lelaki tetpai juga merangkumi beregu lelaki dan wanita,” kata pemain berusia 30 tahun itu.
Kejayaan meraih pingat perak pada temasya di London ini merupakan perak Olimpik kedua buat Chong Wei selepas dia mengukir kejayaan yang sama di Beijing empat tahun lalu.
Selepas ini, fokusnya adalah untuk menggalas cabaran negara pada Sukan Komanwel dan Asia serta Kejohanan Dunia tahun depan.
“Mungkin saya boleh beraksi lagi pada Sukan Asia dan Komanwel tetapi untuk Sukan Olimpik banyak bergantung sama ada saya layak atau tidak.
“Mungkin form saya dalam masa empat tahun lagi tidak sama seperti sekarang,” katanya. – Kosmo Online
No comments:
Post a Comment