LAPORAN polis telah dibuat oleh seorang blogger yang juga seorang wartawan televisyen tempatan, Zulhazri Abu Bakar (Hazrey) pada 5 Ogos lalu di Balai Polis Johor Bahru Central terhadap kenyataan yang didakwanya berunsur fitnah dengan niat menjatuhkan maruah, integriti serta kerjanya yang dilakukan oleh Mamat Sepah atau nama sebenar Mohd Noor bin Murad.
Laporan yang telah disiarkan melalui sisipan akhbar Mingguan Malaysia, Pancaindera bertarikh 29 Julai di mukasurat 12 dengan tajuk “Isu di Twitter, Mamat enggan mohon maaf” itu menyiarkan kenyataan Mamat yang telah mengeluarkan kenyataan fitnah seperti berikut:
“Bukan mahu tunjuk samseng, bagi saya dia seorang yang tak ada adab dan tak hormat orang. Dia yang menggertak dan memaki hamun saya di Twitter terlebih dahulu. Saya cuma berdiam diri. Tapi bila dia mula melibatkan mak bapak saya, ini sudah melampaui had saya. Sekarang siapa yang kurang ajar?”
Jelas Hazrey, ayat itu secara jelas melakukan fitnah jenayah terhadapnya dengan tujuan menjatuhkan kredibilitinya sebagai seorang wartawan.
Tambah Hazrey lagi, Mamat Sepah turut membuat kenyataan fitnah di ruangan sama yang berbunyi “Dia ada memberitahu saya dia seorang wartawan. Tapi rupanya dia bukannya wartawan hiburan pun. Saya rapat dengan kebanyakan wartawan hiburan dan saya kenal kebanyak dari mereka. Tapi dia ni saya langsung tak pernah kenal. Jangan hanya kerana tiket wartawan yang dia pegang, dia ingat dia boleh gunakannya untuk menghentam orang sesuka hati. Memang tak ada adab.”
Manakala pada 25 Julai, Mamat turut membuat kenyataan palsu dan fitnah yang tersiar di sebuah blog hiburan seperti berikut:
“Namun tidak semena-mena saya ditempelak terus dengan seorang yang menggelarkan dirinya sebagai wartawan bernama Hazrey yang memaki saya kerana tidak mengesahkan berita itu terlebih dahulu.”
Kenyataan yang sama turut dipaparkan di beberapa blog hiburan lainnya.
Terkini pada 5 Ogos lalu menerusi program hiburan Propaganza, Mamat telah membuat kenyataan bervisual seperti berikut:
“Kau memang penakut gila, dia masuk ke tempat saya tak beri salam tau. Artis bodoh semua. Gua ajak lu jumpa taknak pula. Kalau dia taknak jumpa saya tak pa, saya tahu rumah dia kat mana. Dia cakap dia member polis, saya pun tak takut dengan gertak dia.”
Menurut Hazrey, kenyataan tersebut jelas palsu dan bertujuan memfitnah secara jenayah dan melakukan ancaman menakutkan apabila mengetahui di mana saya tinggal.
Akibat kenyataan Mamat, kehidupan serta emosi Hazrey terganggu selain integritinya sebagai seorang wartawan juga turut terjejas.
Hazrey turut sedang menimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang melalui saman sivil sekiranya pelawak tersebut seandainya tidak memohon maaf secara terbuka dan mengakui apa yang dinyatakan di beberapa media tersebut adalah rekaan, palsu dan berunsur fitnah.
No comments:
Post a Comment