Mungkin bagi sesetengah jurusolek yang pernah mendandan rapi Datuk Siti Nurhaliza, agak jarang mendengar penyanyi tersohor itu boleh disiapkan dalam masa yang agak singkat.
Namun Khamis lalu, jurusolek yang semakin meningkat naik, Najeeb Azami telah mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menyiapkan solekan indah di wajah selebriti pujaan ramai itu dalam masa kurang daripada satu jam.
Hasil solekan ringkas berkenaan telah digunakan bagi menjayakan sesi rakaman klip video terbaru Datuk Siti bersama-sama juara Mania, Hafiz yang telah diadakan di Universiti Multimedia, Cyberjaya, Khamis lalu.
Najeeb berkata selalunya dia akan memperuntukan sekurang-kurangnya satu jam setengah untuk merias wajah Datuk Siti untuk tujuan tertentu, tetapi untuk klip video berkenaan dia hanya memerlukan satu jam sahaja.
“Ya memang, kali ini lebih cepat. Semuanya kerana teknik solekan yang digunakan kali ini lebih ringkas, nipis dan mengetengahkan konsep less is more.
“Bukannya saya memandai-mandai untuk memilih gaya solekan ringkas itu di wajah Datuk Siti tetapi pengarah klip video itu sendiri, Ghaz Abu Bakar yang mahukan saya menyerlahkan penampilan Datuk Siti seperti itu,” katanya.
Najeeb bagaimanapun berkata, sebelum memulakan proses solekan, dia bagaiamanapun terlebih dahulu telah bertanyakan pendapat daripada Datuk Siti dan dia berbesar hati apabila penyanyi berkenaan bersikap terbuka dengan sebarang pembaharuan.
Kata Najeeb, konsep hitam putih yang ada pada klip video berkenaan juga telah menjadi kekuatan untuknya tampil dengan sentuhan lebih sederhana tetapi tampak mewah.
Malah salah satu klip video sempena pertunjukan fesyen musim luruh dan dingin daripada pereka fesyen dari rumah fesyen Chanel, Karl Lagerfeld telah dijadikan panduan Najeeb untuk berkarya pada wajah Datuk Siti.
“Sebelum sesi fotografi bermula, Ghaz telah memberi tahu saya bahawa dia mahukan solekan hitam putih dan ringkas seperti mana yang ditayangakn dalam klip video fesyen Karl Lagerfeld.
“Apabila saya diberikan tanggungjawab itu, saya terasa amat gembira kerana inilah kali petama saya berpeluang menyiapkan Datuk Siti dengan solekan yang ringkas, tidak seperti biasa” katanya.
Najeeb telah menggunakan hampir kebanyakan produk solekan dari jenama SimplySiti bermula dari bedak asas, bedak tabur, pemerah pipi, maskara sehingga ke gincu bibir.
Bagaimanapun, bagi memberikan kesan bercahaya pada wajah Datuk Siti, dia telah menggunakan produk dari jenama Nars dan juga pembayang mata daripada Cyber Colors.
Najeeb turut diberi tanggungjawab menyiapkan penampilan wajah Hafiz supaya tampak selaras dengan Datuk Siti dalam klip video berkenaan.
“Untuk Hafiz saya telah menggunakan teknik solekan air brush yang nipis kerana hanya dengan teknik itu saja dapat mengekalkan hasil solekan terutama untuk penggambaran klip video.
“Manaka rambut Hafiz saya rapikan rata dengan menggunakan gel manakala rambut di bahagian belakangkanya pula dibiarkan beralun asli,” katanya.
No comments:
Post a Comment