BINCANG…Liew (tengah) bertanyakan sesuatu kepada pengadu, Yee Choi Voon (kiri) mengenai bil elektrik rumahnya.
SERDANG: Tindakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengenakan tuntutan terkurang caj antara RM1,000 hingga RM11,521 kepada sembilan penggunanya di Seri Kembangan, di sini, atas alasan meter mereka diusik disifatkan tidak masuk akal.
Seramai tujuh pengadu yang menerima surat notis berhubung perkara itu adalah penghuni Rumah Pangsa Kantan Court manakala dua lagi menetap di kawasan perumahan Seri Kembangan.
Pengadu, Wong Fah Kim, 55, berkata, TNB menuntut RM11,521 bagi tempoh 14 bulan atas alasan terdapat gangguan pada meter pepasangan dan menyebabkan alat itu gagal berfungsi dengan baik sehingga tidak dapat merekodkan bacaan sebenar.
“Setiap bulan saya bayar bil elektrik tepat pada masa dan tiada tunggakan. Bagaimana masalah ini berlaku kerana jumlah dituntut tidak logik,” katanya.
Menurutnya, rumah milik mentuanya itu didiami bersama sembilan ahli keluarga lain dan mengakui rumah terbabit menggunkan tiga penyaman udara dengan anggaran bil RM300 hingga RM400 setiap bulan.
“Kakitangan TNB tidak datang untuk membuat bacaan meter sebaliknya mengenakan caj berdasarkan anggaran. Malah, kami juga tidak meminta TNB untuk membuat penggantian meter,” katanya.
Wong berkata, TNB perlu melakukan pemeriksaan terperinci sebelum mengeluarkan tindakan kerana ia membebankan pengguna yang perlu menjelaskan jumlah dituntut dalam tempoh 14 hari bagi mengelak bekalan elektrik dipotong.
Pengadu lain dari Rumah Pangsa Kantan Court, Khoo Mung Yap, 57, berkata, dia dikehendaki membayar tuntutan terkurang caj RM9,263 sejak 26 Mac tahun lalu selepas TNB mendakwa meter rumahnya diusik.
“Rumah saya ada sebuah penyaman udara namun jarang digunakan dan dikenakan bayaran bil elektrik RM20 setiap bulan. Bagaimanapun, bil meningkat RM50 setiap bulan selepas TNB membuat penukaran meter tahun lalu,” katanya.
Dia yang menetap di rumah pangsa itu sejak 2006 berasa hairan meter elektrik rumahnya boleh diusik kerana alat itu dipasang dalam bilik khas yang dikunci dan hanya boleh diakses pemaju dan pihak TNB.
“Saya pergi ke pejabat TNB bahagian Bangi untuk mendapat penjelasan dan diberitahu meter sudah diganti selain tuntutan itu dikenakan kerana mengesyaki saya mencuri bekalan elektrik,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Parlimen Serdang, Datuk Liew Yuen Keong berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan TNB untuk melakukan siasatan dalam kes berkenaan selain membuat penjelasan terperinci kepada pengadu.
No comments:
Post a Comment