Keakraban hubungan yang terjalin antara Akim dan Stacy sudah lama diketahui. Meskipun kedua-duanya tidak pernah mengaku mempunyai hubungan istimewa, namun masing-masing tidak menafikan sedang berkawan rapat.
Kolaborasi pertama mereka dalam lagu Jahatnya Cinta juga seolah-olah mengiakan lagi gosip tersebut. Malah, yang terbaru, Akim turut mengundang Stacy untuk bekerjasama
sekali lagi dengannya menerusi lagu berjudul Kembali yang dimuatkan dalam album pertamanya.
Mengakui selesa bekerja bersama gadis Sabah itu, Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad berkata, sebagai rakan baik, dia ingin menonjolkan bakat Stacy yang juga
mampu menyanyikan lagu-lagu balada dengan baik.
“Sebelum ini, ramai yang tahu kebolehan Stacy menyanyikan lagu-lagu rancak. Malah, lagu duet kami sebelum ini juga (Jahatnya Cinta) berirama rancak. Jadi, saya terfikir untuk menonjolkan kebolehan Stacy dalam menyanyikan lagu balada kerana saya sendiri suka mendengar suaranya sewaktu menyanyikan lagu irama sebegitu (balada).
“Tambahan pula, sebelum ini, kami pernah bekerjasama dan saya rasa selesa berurusan dengan dia,” katanya semasa pelancaran album sulungnya yang berjudul Akim Ahmad di No Black Tie, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengulas mengenai hubungannya dengan Juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6) itu, Akim menegaskan status mereka masih lagi sebagai rakan baik biarpun sebelum ini
timbul gosip mengatakan hubungan ‘cinta’ mereka telah retak.
Namun, bintang Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) ini merasakan tidak mahu terburu-buru dalam mengejar perhubungan. “Pada usia 21 tahun ini banyak lagi perkara perlu
saya fikirkan berbanding mengejar hubungan.
Saya lebih suka tumpu pada karier demi masa depan saya dan keluarga. “Namun, apabila saya sudah berjaya mengumpul aset sendiri seperti rumah, saya pasti akan mula memikirkan hal itu,” katanya yang meletakkan umur 25 tahun untuk berkahwin.
Lebi h selektif
SELAIN menyanyi, Akim juga turut dikenali sebagai pelakon. Sungguhpun baru sahaja berlakon dalam satu filem berjudul Hoore! Hoore! yang ditayangkan baru-baru ini, namun Akim masih meletakkan keutamaannya kepada bidang nyanyian.
Tidak mahu digelar ‘tamak’ dalam merebut peluang, pelantun lagu Janji ini sebenarnya ingin dikenali sebagai artis yang berkebolehan. Katanya, bidang lakonan merupakan percubaannya dalam mengembangkan lagi bakat yang ada selain ingin mengutip pengalaman dalam bidang tersebut.
“Minat saya masih lagi dalam bidang nyanyian, malah itu juga keutamaan saya. Namun, jika ada tawaran berlakon, saya akan melihat dahulu karakter yang ditawarkan sebelum bersetuju,” katanya yang turut meluahkan rasa minat berlakon teater.
No comments:
Post a Comment