NEELOFA,ANZALNA BERMAAFAN TAPI TIDAK BERSALAMAN | Tiada salam dihulur dan mengelak dirakam gambar bersama. Itulah yang berlaku pada majlis pengumuman maaf secara terbuka yang dianjurkan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) bagi melerai krisis dua pelakon muda, Anzalna Md Nasir, 24, dengan Neelofa Mohd Noor, 23, di sebuah hotel di Damansara, Petaling Jaya, semalam. Janggal melihat dua individu yang dikatakan sudah berdamai, tetapi enggan bergambar bersama. Lebih pelik, Anzalna dan Neelofa enggan bersalaman selepas sesi 20 minit itu berakhir.
"Paling penting, saya sudah meminta maaf. Kita tak tahu hidup sampai bila, jadi lebih baik bermaafan”. - AnzalnaPenganjur memberitahu wakil media, Anzalna dan Neelofa perlu segera meninggalkan majlis kerana jadual penggambaran mereka padat.
'Drama' dua pelakon muda ini bermula kira-kira jam 1.45 petang. Selepas menunggu hampir sejam, Presiden SENIMAN, Zed Zaidi mengambil tempat duduk di antara Anzalna dan Neelofa. Turut hadir, peguam kedua-dua artis terbabit.
Anzalna kemudian menandatangani dokumen yang dikatakan surat aku janji yang disediakan SENIMAN disusuli kenyataan permohonan maaf.
Namun, ucapan Anzalna terhenti apabila Neelofa menghulurkan kertas yang perlu dibacakan di depan wakil media.
Anzalna membaca kenyataan itu yang berbunyi:
"Saya minta maaf kepada Neelofa kerana mengeluarkan kenyataan di Berita Harian pada 10 Jun 2012 di muka surat 10 yang menjejaskan maruah Neelofa dan keluarganya. Saya tiada bukti kukuh untuk menyokong kenyataan itu."
Anzalna yang dilihat menitiskan air mata, pulang lebih awal selepas Zed mengumumkan tiada sidang media diatur. Zed juga meminta semua pihak tidak memanjangkan isu berkenaan.
Namun, wakil media berusaha mendapatkan reaksi kedua-dua pelakon terbabit sejurus majlis berakhir.
Ketika ditanya, Neelofa dan Anzalna mengakui krisis mereka sudah berakhir. Malah Neelofa memberitahu, tidak kisah jika ada produksi mahu menggandingkan dia dengan Anzalna dalam drama atau filem.
No comments:
Post a Comment