Tuesday 3 July 2012

Teknologi pertama di dunia








Hafiz Syed Abu Bakar (lapan dari kanan, barisan kedua) bersama ahli kelab My Forte Club menyambut pertemuan semula kelab itu di Red Cube Naza Kia, Petaling Jaya, semalam.




PETALING JAYA 1 Julai – Naza Kia Malaysia (Naza Kia) dijangka membawa masuk model kenderaan mesra teknologi pertama dalam dunia yang memperkenalkan arahan suara, pada akhir tahun ini.
Ia sejajar dengan usaha Kia Corporation dari Korea Selatan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan hiburan maklumat dalam kenderaan pada tahun ini.
Ketua Pegawai Operasi Naza Kia, Datuk Hafiz Syed Abu Bakar berkata, penggunaan teknologi arahan suara itu membabitkan semua model kenderaan Naza Kia sedia ada.
Beliau memberitahu, model kenderaan itu akan menjadi teknologi yang pertama digunakan Naza Kia di Malaysia dan juga di dunia setakat ini.
“Buat permulaan, kami menyasarkan model Kia Sorento yang pertama dilengkapkan dengan teknologi arahan suara untuk dibawa masuk ke negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri majlis pertemuan semula ahli kelab My Forte Club (MFC) di Red Cube Naza Kia, di sini hari ini.
Majlis itu telah dihadiri seramai 105 ahli MFC.
Sehingga kini, MFC yang telah ditubuhkan secara tidak rasmi pada 2010 telah mempunyai lebih 3,000 ahli di seluruh negara.
Ketika ditanya jualan Kia Forte pada waktu ini, Hafiz memberitahu, sebanyak 600 hingga 700 buah Kia Forte telah dijual sejak Mac lalu.
Katanya, ia merupakan peningkatan mendadak jualan Naza Kia berbanding 400 buah hingga 500 buah sebulan sebelum ini.
Jelasnya, Kia Forte menyumbang sebanyak 50 peratus kepada jualan keseluruhan Naza Kia setakat ini.
“Masyarakat di negara ini semakin dapat menerima jenama Naza Kia berikutan kualitinya yang amat baik, malah, nilai jualan semula kenderaan Kia Forte juga tinggi berbanding model-model terdahulu.
“Kita berjaya memulihkan imej Naza Kia melalui pengenalan Kia Forte dan beberapa model baru yang lain,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai konsep Red Cube Naza Kia, Hafiz memberitahu, Malaysia mempunyai Red Cube keempat di Asia.
Jelasnya, Red Cube menampilkan perkhidmatan empat S iaitu selenggara, jualan, alat ganti dan cat kenderaan.
“Pada akhir tahun ini, kami dijangka membuka Red Cube Naza Kia di Johor Bahru. Pada tahun depan pula, kami merancang untuk membukanya di Pulau Pinang,” katanya.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”