KUANTAN: Niat murni seorang lelaki membantu majikannya memindahkan peti sejuk ke rumah baru dengan menaiki pacuan empat roda berakhir tragedi apabila maut akibat dihempap peti sejuk itu yang terbalik selepas dikatakan terlanggar palang besi di Jalan Haji Ahmad, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, mangsa, Syamsul Huda, 39, dari Indonesia disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, akibat cedera parah di kepala.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, berkata sebelum kejadian, mangsa bersama seorang rakannya berada di bahagian belakang pacuan empat roda itu yang dipandu majikannya sambil membawa peti sejuk.
Menurutnya, bagaimanapun, sebaik tiba di sebuah jambatan sempit, majikan mangsa dipercayai tidak menyedari terdapat palang kemudian melaluinya sebelum palang berkenaan terkena peti sejuk dipegang mangsa.
Katanya, berikutan itu, peti sejuk berkenaan kemudian terbalik lalu terkena kepala mangsa sebelum kejadian itu disedari majikannya.
“Majikan mangsa bersama seorang lagi pekerjanya bergegas mengangkat dan mengalihkan peti sejuk berkenaan sebelum menghantar mangsa ke HTAA untuk rawatan akibat cedera di kepala,” katanya, semalam.
No comments:
Post a Comment