TAK perlu menunggu nasi minyak adik, kakak, saudara-mara, jiran atau rakan-rakan pada hujung minggu mahupun ketika cuti sekolah yang sinonim dengan musim orang kahwin kerana anda boleh menikmati nasi kenduri itu pada hari biasa di Nasi Minyak House!
Terletak di Presint 15, Putrajaya, restoran yang diusahakan sekeluarga ini menyediakan pilihan nasi kenduri iaitu nasi minyak, nasi hujan panas dan nasi beriani.
Tidak lengkap nasi kenduri kalau tidak bersertakan pilihan lauk pengantin untuk dipadankan iaitu ayam goreng berempah, ayam merah, daging masak hitam atau kuzi kambing yang merupakan resipi rahsia keluarga pemilik restoran, Saiful Adlin Ahmad.
Ujar Saiful, idea membuka restoran tersebut muncul memandangkan nasi minyak yang dimasak ibunya, Wan Mas Wan Nik yang berasal dari Terengganu merupakan masakan kegemaran sekeluarga terutama tiap kali menjelang raya.
"Nasi minyak sememangnya terkenal di Terengganu. Tetapi di sana, mereka banyak menggunakan kunyit bagi menaikkan warna kuning, berbeza dengan resipi ibu saya yang banyak menggunakan rempah, minyak sapi dan bahan-bahan lain.
"Lauk seperti daging masak hitam paling digemari untuk digabungkan bersama nasi minyak dan proses menyediakan resipi ini bukannya mudah kerana memerlukan masa sehingga lima jam bagi menyiapkannya.
"Kami turut menyediakan nasi hujan panas dan nasi beriani bagi memenuhi permintaan pelanggan yang rindukan nasi bermusim itu," ujarnya yang turut menyediakan pelbagai masakan lain seperti nasi lemak, mi rebus, mi kari dan masakan Barat di restorannya.
Bagi nasi minyak, Wan Mas yang memasak sendiri kesemua hidangan di restoran itu memulakan masakan dengan menumis bawang, halia dan rempah-rempah lain serta menggunakan minyak sapi berkualiti, rempah kurma, puri tomato, sedikit susu cair diakhiri dengan kismis.
Bagi nasi hujan panas pula, Wan Mas banyak menggabungkan rempah kurma dan sup bersama-sama puri tomato dan susu cair, diakhiri dengan lobak, kismis serta tiga jenis warna bagi mewarna-warnikan nasi tersebut.
Berkongsi petua, Wan Mas berkata, sukatan air perlulah betul bagi setiap nasi untuk memastikan nasi gebu. Dia turut menggunakan beras basmathi.
Menu lain yang turut menjadi tumpuan pelanggan di Nasi Minyak House adalah Hot Cheezy iaitu roti paratha diisi dengan inti telur dan keju, ketam dan keju atau ayam lada hitam.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130113/ke_03/Hari-hari-nasi-orang-kahwin#ixzz2Hv065U3q
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment