Monday, 14 January 2013

Tayar treler hentam rumah




Bagan Serai: Seorang pemuda tidak menyangka bunyi dentuman kuat dari arah bumbung rumahnya berpunca daripada dua biji tayar yang tercabut dari sebuah treler sebelum melantun dan menghempap kediamannya, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.15 petang di Kampung Telok Medan itu, mangsa, Muhammad Syukri Hafiz Ibrahim, 28, mendakwa bumbung rumahnya rosak, selain sebuah kereta Perodua Viva milik ahli keluarganya remuk akibat dihempap bumbung rumah yang runtuh selepas hentaman dua biji tayar seberat 120 kilogram itu.


Muhammad Syukri berkata, ketika kejadian, dia sedang menonton televisyen.

Menurutnya, dia bersyukur kerana tidak cedera, namun rumahnya mengalami kerosakan teruk, terutama di bahagian bumbung menyebabkan kerugian kira-kira RM10,000.


“Pada mulanya saya terdengar bunyi dahan patah dan tidak menyangka sesuatu yang buruk sebelum dikejutkan dengan dentuman kuat itu.


“Saya segera keluar dari rumah untuk memeriksa sebelum mendapati dua biji tayar ‘melekat’ pada bumbung rumah,” katanya, semalam.

Katanya, dia sempat melihat treler berkenaan tidak jauh dari rumahnya dan percaya pemandunya tidak sedar tayar belakangnya tercabut sebelum melantun dan menghempap rumahnya.


Muhammad Syukri berkata, pemandu treler berkenaan bagaimanapun menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan oleh seorang penunggang motosikal yang terlihat insiden.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”