Monday, 14 January 2013

Ini adalah saya - Sakinah



PANTAS sahaja suasana yang sunyi berubah riuh saat wanita berusia 24 tahun ini melangkah masuk ke ruang solek di studio Utusan Melayu tempoh hari. Bait-bait tuturnya umpama sang murai. Ada sahaja yang ingin diperkatakan.

Melihat situasi itu, sedikit sebanyak menjawab persoalan mengapa Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar ini sering digelar perempuan bermulut kepoh.

Ada benarnya bila ada yang berkata tidak semua orang suka melihat atau mendengar perempuan becok dan kepoh tak tentu pasal.

Lebih-lebih lagi, kalau seseorang perempuan itu bercakap tanpa menggunakan akal waras selain sengaja berkelakuan begitu untuk menarik perhatian.

Bukan apa, silap hari bulan dari rasa suka berubah jadi menyampah gara-gara sikap yang dipamerkan boleh dianggap menjengkelkan dan menyakitkan mata.

Itu antara yang dilemparkan pada wanita yang mesra disapa Sakinah ini.

Sebagai pelakon baru, Sakinah adalah antara artis yang tidak terkecuali menjadi mangsa mereka yang mengangkat diri sebagai ‘pakar’ mencari kesalahan orang.

Bezanya cuma kesalahan Sakinah itu cukup ketara. Semuanya angkara mulut. Bukan setakat kecoh malah dia juga dilabel sebagai wanita bermulut laser.

Mengajaknya berkongsi pandangan mengenai hal itu, ternyata pelakon Biar Mimpi Sampai Ke Bintang ini punya alasan sendiri apabila dituduh sebegitu rupa.

“Karakter saya memang begini dan bukannya dibuat-buat. Saya suka buat suasana jadi ‘hidup’ dengan mulut riuh saya.

“Dah tentulah saya suka bergurau. Kalau orang yang dah lama kenal saya, mereka akan tahu malah boleh bezakan antara gurauan dan mulut laser.

“Tapi setakat ini saya berani cakap yang saya tak pernah bermulut laser dengan orang yang saya tak kenal. Sekecoh-kecoh saya, tidaklah sampai tak tahu batasan. Saya tahu di mana had saya," katanya.

Mengaku dirinya punya karakter happy go lucky, Sakinah sedar bahawa sikapnya itu kadangkala membuatkan orang berasa tidak selesa untuk mendekati dirinya.

“Biasalah, mungkin ada yang tak suka perempuan mulut kecoh macam saya ini. Kalau ikutkan, kita buat apa pun, bukan semua orang suka.

“Kadang-kadang saya hairan juga, kalau kita diam orang kata kita sombong. Kalau kita peramah dan mudah mesra pula, orang kata kita kecoh dan mulut laser.

“Habis tu macam mana?" soal Sakinah yang sebelum ini pernah mencipta kontroversi dengan Gambit Saifullah dan Julia Ziegler gara-gara didakwa menjaja cerita kurang enak tentang kedua-dua artis tersebut.

Klon Shira

Mungkin ada yang tidak tahu bahawa wanita berbintang Gemini ini sebenarnya adalah adik kepada pelakon Sharifah Norhaslinda (Lin) dan Sharifah Shahirah (Shira).

Namun antara kedua-dua kakaknya itu, Sakinah mengakui lebih menyerupai Shira dalam segala hal.

Mereka punya banyak persamaan. Paling ketara, tentu sekali bermulut becok!

Melihat keadaan itu maka ramai yang menganggap Sakinah cuba menjadi seperti Shira apabila memasuki industri hiburan penuh glamor ini.

Masakan tidak, segala tindak tanduk, tutur kata, becok mulutnya, di mata kasar, saling tak tumpah seperti kakaknya itu. Ini jawapan si bongsu itu:

“Dari kecil kami cukup rapat sampaikan saya menetap di rumahnya. Macam manalah kami ini tak serupa?

“Setiap hari kami berjumpa, berbual, buat kecoh, pendek kata cara pergaulan saya dengan dia sentiasa ada dan sama. Saya dah sebati dengan Shira.

“Kalau ikutkan, sebenarnya saya ini umpama gabungan dua karakter. Baik Lin dan Shira. Ada masa saya boleh jadi macam Lin yang lebih tegas dan serius. Namun tak dinafikan, kebanyakan masa saya riuh seperti Shira.

“Jujurnya, kedua-dua memainkan peranan yang penting dalam membentuk saya sekarang.

“Tak kisahlah orang nak cakap apa. Tapi kalau ini yang ditimbulkan dan orang bertanya adakah saya nak jadi macam Shira, ini jawapan saya. Saya tak tiru dia tetapi saya adalah dia." ujarnya serius.

Tahu bahawa gelaran itu mungkin sukar dikikis Sakinah buat masa ini, wanita ini bagaimanapun melahirkan rasa syukur kerana dikurniakan Lin dan Shira sebagai kakaknya.

“Sejujurnya, saya rasa bertuah kerana ada kakak seperti mereka yang tak pernah lokek ilmu dan pengalaman sepanjang mengharungi suka duka sebagai anak seni.

“Malah saya juga beruntung kerana Lin dan Shira banyak beri tunjuk ajar. Contohnya Lin tegas dalam soal kecantikan, imej dan penampilan sehinggalah kepada soal membaca skrip.

“Sementara Shira banyak beri tunjuk ajar dalam bab pergaulan dengan rakan-rakan artis dan orang dalam industri. Banyak kali saya dipesan agar jangan sombong, jangan berlagak diva dan sebagainya.

“Shira memang pantang dalam hal ini kerana itu dia tak mahu saya terlibat dengan kontroversi. Kalau boleh saya juga mahu elak benda-benda begini," katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20130113/hi_01/Ini-adalah-saya---Sakinah#ixzz2HuxqgsTO
© Utusan Melayu (M) Bhd

1 comment:

fuzore said...

kah..kah..kah.. la ini ke Sakinah jantan rupanya..

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”