Monday, 14 January 2013

Perang Bola Cat




TUJUH minit saja tempoh diberi untuk dua pasukan bertempur, menghabiskan sekurang-kurangnya seribu butir peluru. Akhirnya, hanya satu pasukan menang dengan jumlah pasukannya lebih ramai.

Walaupun belum popular dan diterima ramai, sukan paintball yang dianggap ramai sebagai hobi ‘urban’ ini makin luas virusnya di kalangan remaja hari ini.

Kejohanan Paintball Asia Antarabangsa di Langkawi yang diadakan setiap tahun umpamanya adalah gelanggang terbaik melihat sendiri sejauh mana kesungguhan dan semangat juang anak tempatan yang sudah mula aktif membabitkan diri.

Menariknya, di antara lebih seribu peserta yang mengambil bahagian dari lebih 20 negara seluruh dunia, ada pasangan adik-beradik yang berjaya mencuri tumpuan.


Nur Afzan Ab Khalid dan adiknya, Izzah Ab Khalid sudah lebih lima tahun bergiat aktif dalam sukan ini.



Macam mana bermulanya minat terhadap paintball?

Afzan: Enam tahun lalu rasanya saya diperkenalkan kepada sukan ini oleh teman dan selepas mencuba, saya terus berminat dan menjadikan hobi wajib. Tapi apabila ingin menyertai satu kejohanan, pasukan saya ketika itu tidak cukup orang dan saya mengambil keputusan untuk mengajak Izzah menyertai sama. Kebetulan ketika itu Izzah belum lagi menyambung pengajian.

Izzah: Alhamdulillah kami berdua mendapat sokongan penuh ibu dan arwah ayah. Siapa sangka mulanya hanya ingin tolong Kak Nur tapi sekarang saya pula yang lebih sudu daripada kuah!


Apa seronoknya paintball?

Izzah: Kita berpeluang menembak dan ‘membunuh’ mangsa atau pihak lawan namun tidak akan disabitkan kesalahan undang-undang! (ketawa)

Afzan: Ramai tidak tahu, apabila sudah menyarungkan pakaian dan memegang kelengkapan untuk berperang, ia akan memberikan satu pengalaman luar biasa. Itu belum lagi apabila memulakan tembakan dan berjaya menjatuhkan pihak lawan. Memang terbaik!

Izzah: Kiranya ia adalah satu riadah, sukan dan hobi namun dalam konsep berbeza, bermain untuk berperang namun dalam disiplin yang tinggi.


Apa cerita menarik apabila adik-beradik menyertai pasukan yang sama?

Izzah: Mungkin ini adalah peluang terbaik untuk kami melepaskan kemarahan di rumah dan mencari peluang untuk menembak di dalam gelanggang! (ketawa) Sebenarnya untungnya kami kerana keserasian dan persefahaman itu sudah ada, sebagai adik-beradik dan keluarga, saya sudah kenal siapa Kak Nur saya, jadi jika timbul perselisihan faham di dalam gelanggang, ia tidak akan ke mana.

Afzan: Percaya atau tidak, banyak pasukan berpecah kerana tiada persefahaman dan bergaduh di dalam gelanggang. Ego tercabar dan tidak dapat menerima kritikan, semuanya berpecah dan tidak lagi bersahabat. Mujur kami saudara sedarah, gaduh macam manapun, di rumah saya tetap menghormati adik saya.


Pencapaian terbaik anda?

Afzan: Kami kini bertanding di Divisyen 2 yang mana himpunan pemain profesional dalam mana-mana kejohanan. Itu sudah memberikan saya kepuasan kerana setidak-tidaknya selepas lebih enam tahun bermain, ada peningkatan dan prestasi di padang.

Izzah: Kami juga diundang Februari lalu untuk bermain di Moscow bagi melengkapkan pasukan wanita di sana. Itu satu penghargaan kami fikirkan baik dan positif untuk pemain tempatan.

Afzan: Kesimpulannya, setiap kali kami berdua bertanding di mana-mana kejohanan dan berjaya menumpaskan pasukan lelaki, itu adalah pencapaian juga kerana tenaga mereka jauh lebih hebat daripada kami tapi secara teknikal atau percaturan strategi, kami punya peluang untuk menjatuhkan mereka.


Misi dan masa depan yang anda berdua fikirkan untuk paintball?

Afzan: Sudah tentu saya ingin menjadi pemain profesional yang boleh mewakili Malaysia dalam kejohanan antarabangsa. Menang atau kalah bukan objektifnya, tapi yang penting dalam memperkenalkan Malaysia dan membanggakan keluarga saya.

Izzah: Masa depan yang saya inginkan adalah paintball menjadi sebuah acara sukan wajib di Malaysia dan juga kejohanan sukan besar seperti Olimpik dan Komanwel. Sekarang, paintball masih belum dianggap sukan oleh sesetengah pihak dan mungkin akan datang ia akan menjadi pilihan utama golongan muda khususnya kerana paintball adalah budaya paling ‘in’ ketika ini.



PROFIL:

Nama: Nur Afzan Ab Khalid
Umur: 28 tahun
Tempat lahir: Jerantut
Keluarga: Anak kedua daripada lima beradik
Pendidikan: Sarjana Sains Pentadbiran UiTM, Shah Alam


Nama: Izzah Ab Khalid
Umur: 22 tahun
Tempat lahir: Kuantan
Keluarga: Anak keempat daripada lima beradik
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Perniagaan, UiTM Kota Bharu

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”