Thursday, 28 March 2013
Penganggur dan bekas isteri didakwa tipu mak
AYER KEROH - Seorang penganggur bersama bekas isterinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, semalam atas tuduhan menipu wang lebih RM13,000 milik ibu kandungnya sendiri.
Norhasbul Md Noor, 28, dan Zuraini Muhamad, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Anita Harun terhadap lima pertuduhan didakwa ke atas mereka, selepas mengangguk faham pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Kedua-duanya didakwa bersama-sama telah menyamar sebagai pegawai E-kasih dengan sengaja memperdayakan ibu Norhasbul, Madiyah Ibrahim, 56, untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM13,100.
Kedua-duanya melakukan kesemua kesalahan membabitkan wang tunai antara RM50 dan RM5,000 di Bank Simpanan Nasional (BSN) Malim Jaya dari 30 Julai hingga 27 Ogos 2012.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu dan 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fairuz Syuhada Amran ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan RM20,000 setiap tertuduh.
Bagaimanapun, Zuraini yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ishak Kari memohon wang jaminan dikurangkan dengan alasan perlu menyara seorang anak dan tidak bekerja sejak bercerai dengan Norhasbul pada 2010.
Sementara Norhasbul merayu wang jaminan dikurangkan tanpa mengemukakan sebarang alasan.
Selepas mendengar rayuan tersebut, Anita kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 April depan bagi serahan dokumen.
Labels:
Sensasi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment