Thursday 28 March 2013

Dicekup ketika ulit pelanggan



SUBANG JAYA – Keghairahan seorang pelanggan yang asyik diulit tukang urut yang memberi khidmat seks terbantut apabila sebuah premis pusat urut di Bandar Puchong Jaya, diserbu pihak berkuasa, petang kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu, tukang urut terbabit dikatakan cuba melarikan diri dalam keadaan berbogel namun berjaya dicekup anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Pengarah Jabatan Penguat Kuasa MPSJ, Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, bertindak atas maklumat awam yang mendakwa premis itu menawarkan urutan batin, seks dan urutan dari badan ke badan (B2B), premis terletak di Jalan Kenari itu diserbu.

Ketika diserbu menurutnya, tukang urut dan pelanggan leka melakukan perbuatan tidak bermoral dalam bilik kecil di premis itu.

Katanya, pihaknya menemui kondom terpakai di dalam tandas dan percaya khidmat seks ditawarkan kepada pengunjung pusat urut dengan kadar bayaran berbeza.

"Hasil pemeriksaan mendapati, premis tidak mempunyai lesen perniagaan sah dari MPSJ.

"Tindakan sitaan peralatan urut dan penutupan premis dikenakan kepada pengusaha di bawah UUK 3 Undang-undang Kecil Pusat Kesihatan MPSJ 2007," katanya.

Menurutnya, tiga pekerja warga Vietnam dan seorang penjaga premis ditahan dan diserahkan kepada polis.

Sebelum itu dalam serbuan berasingan, 20 anggota penguat kuasa MPSJ diketuai Penolong Pengarah Penguat Kuasa, Mazrul Zahar Mohd, menyerbu sebuah pusat rawatan kesihatan Jalan USJ Sentral 1.

Ketika pemeriksaan dijalankan, seorang tukang urut didapati memberi perkhidmatan urutan batin kepada seorang pelanggan.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis itu juga tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah dari MPSJ.

“Pengusaha premis dikenakan tindakan sitaan peralatan urut dan penutupan premis di bawah UUK 3 UUKPK MPSJ 2007 kerana mengendalikan pusat rawatan kesihatan (rumah urut) tanpa lesen MPSJ dan boleh dikompaun RM1,000,” katanya.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”