Thursday, 28 March 2013

Rockestra Wings janji lebih gempak




SELEPAS kejayaan konsert Opera Hidup (2011) di Istana Budaya (IB), kumpulan rocker terkenal tanah air ini kembali menggegarkan IB menerusi konsert kedua, Wings Rockestra.

Tampil kelainan, konsert kali ini menggandingkan dua gitaris terkenal dari Malaysia dan Indonesia.

Ian Antono yang tidak asing lagi dari Indonesia diterbangkan khas bagi menjayakan konsert Rockestra Wings. Tidak kurang hebatnya dengan gitaris tanah air terkenal, Hillary Ang, yang cukup hebat dengan sentuhan magisnya.

Konsert empat hari yang dijadualkan berlangsung pada 26 hingga 30 April (kecuali 29 April) ini bakal menyaksikan kumpulan yang ditubuhkan sejak 27 tahun lalu itu membawakan lebih 20 buah lagu termasuk single terbaru mereka.

Lebih menarik, konsert ini turut diiringi seramai 43 pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) IB yang dipimpin oleh Mustafa Fuzer.

Konsert hampir tiga jam ini juga mendapat sentuhan Joe Wings selaku pengarah muzik dan penggubah muzik orkestra, Lee Tse Wan.

Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, gabungan antara gitaris Malaysia dan Indonesia pastinya akan memberi kelainan dalam konsert Wings kali ini.

"Kemunculan kombinasi gitaris Ian Antono dan Hillary Ang bersama kumpulan Wings dapat memeriahkan lagi suasana Istana Budaya agar dapat membentuk atmosfera rock tersendiri dalam industri rock tempatan.

"Pihak kami berbesar hati kerana dapat bekerjasama sekali lagi dengan Wings untuk menjayakan konsert terbaru mereka selepas Opera Hidup.

“Jika diingat kembali konsert mereka yang lalu, ia adalah suatu kejayaan kerana sambutan yang diterima daripada peminat genre rock begitu memberangsangkan.

“Kami bersetuju untuk mengadakan konsert ini kerana mereka mempunyai peminat dan pengikut tersendiri. Lagipun, Wings adalah satu nama besar yang sangat
dinantikan peminat untuk mengadakan konsert, pada masa sama dapat meneruskan kesinambungan dan perjuangan mereka terhadap genre muzik rock,” katanya ketika sidang media yang berlangsung baru-baru ini.

Beri kelainan

Sementara itu, dalam sidang media sama, Pengarah Muzik Kumpulan Wings, Joe berkata, persiapan mengikut rancangan yang telah diatur dan setakat ini semuanya berjalan lancar.

Menurutnya, pada konsert kali ini, Wings akan memberi kelainan dengan menyampaikan lagu-lagu popular mereka yang kurang diputarkan di radio.

"Pemilihan lagu merupakan aspek paling sukar dalam menjayakan konsert kali ini kerana mereka bukan beraksi secara bersendirian di atas pentas, tetapi bersama-sama dengan kumpulan orkestra.

“Perbezaannya adalah apabila sudah membuat keputusan apakah 20 buah lagu yang akan dipersembahkan. Kami tidak boleh menukar mana-mana lagu pada saat-saat akhir berbanding persembahan di konsert biasa.

“Oleh itu, setelah mengenal pasti lagu apa yang akan dipermainkan, kami terus menjalankan sesi latihan bagi memastikan persembahan berjalan dengan lancar sepanjang empat hari konsert berlangsung,” jelasnya.

Setiap perancangan dibuat pastinya hadir dengan dugaan dan cabaran yang tersendiri, begitu jugalah dengan persediaan kumpulan rock popular ini.

Dalam pada itu, Joe berkata, segalanya persiapan berjalan dengan lancar dan berharap di anugerahkan kesihatan yang baik pada malam tersebut.

Awie kekal stamina

Sementara itu, Awie berkata, untuk menyanyikan 20 lagu satu hari, dalam masa yang begitu singkat ianya bukan perkara yang terlalu mudah, kekuatan tenaga mental dan fizikal perlu seiring untuk lakukan yang terbaik.

"Saya perlu kuatkan tenaga untuk lakukan yang terbaik buat penonton yang hadir.

"Walaupun saya sibuk dengan penggambaran filem dan sebagainya, namun ia bukan halangan untuk saya lakukan yang terbaik buat peminat setia kumpulan Wings," katanya.

Menurut Awie, pada malam persembahan itu nanti, penonton yang hadir akan disajikan dengan satu persembahan baru yang pasti lebih memukau berbanding konsert Opera Hidup, dua tahun lalu.

“Untuk mengadakan persembahan di sebuah pentas berprestij iaitu di IB, kami pastinya akan berusaha dan giat berlatih dalam memberikan yang terbaik setaraf dengan lokasi penganjuran," katanya.

Ditanya mengenai penjualan tiket, Awie memberitahu dari segi jualan, agak memberangsangkan.

Tiket untuk menyaksikan konsert ini boleh didapati dengan harga antara RM69 hingga RM499.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”