Thursday 28 March 2013

Warga Nigeria perdaya wanita RM6,100




JOHOR BAHRU – Seorang ahli perniagaan warga Nigeria mengaku tidak bersalah di mahkamah majistret, di sini semalam atas tuduhan melakukan penipuan, awal Mac lalu.

Tertuduh, Arah Chukwunonso Nnamdi,33 didakwa memperdaya mangsa, Azlifah Jemaat, 33, untuk menyerahkan wang tunai RM6,100, di Taman Puteri Wangsa, di sini, jam 11 malam 4 Mac hingga 2.58 petang, 5 Mac lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Azlifah mempercayai bahawa ada bungkusan hadiah yang dihantar kepadanya dari United Kingdom menggunakan sistem penghantaran antarabangsa dan beliau perlu membayar sejumlah wang sebagai yuran pendaftaran.

Akibat terpedaya, mangsa telah menyerahkan wang RM6,100 ke dalam akaun bank yang dimiliki tertuduh yang didapati Arah telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, Arah boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebat dan dikenakan denda.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan ke atasnya yang dibacakan dalam dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Pendakwaan dikendalikan, Mohd Afif Mohd Ali menawarkan jaminan RM100,000 ke atas tertuduh atas alasan Arah seorang warganegara asing dan kesalahan yang dilakukannya serius.

Mohd Azlan bagaimanapun menetapkan jaminan RM30,000 dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia dan memutuskan 18 April depan bagi sebutan kes.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”