Thursday 6 March 2014

‘Giliran’ Makanan Mamak Pula Dikritik Chef Wan

‘Giliran’ Makanan Mamak Pula Dikritik Chef Wan

Bila orang biasa memberikan komen peribadi tentang makanan, sah-sah tak ramai yang ambil peduli.
Tapi kalau yang mengeluarkan kenyataan adalah orang yang mempunyai kepakaran dalam bidang masakan, sudah tentu ia mendapat perhatian ramai.
Jika sebelum ini Chef Wan memberikan komen pedas tentang makanan disajikan di hotel 5 bintang dan syarikat penerbangan yang tidak menepati selera tekaknya dan memalukan, terbaru, Chef Wan mengkritik pula makanan di kedai mamak.
Dalam satu status dimuat naik di laman Instagam miliknya beberapa jam lalu, Chef Wan berkongsi cerita bagaimana daripada sekian banyak makanan yang dipesannya dan rakan-rakan di sebuah kedai mamak termasuk teh tarik, tosai, mi segera goreng dan ayam tandoori; tak satu pun yang disukainya.
Malah Chef Wan menyifatkan ayam tandoori yang dihidangkan kepada mereka keras dan kaku macam ayam mati terperanjat dilenyek lori bandaraya.
Berdasarkan perkongsian Chef Wan, beliau sebenarnya memang sudah lama tak makan di kedai mamak kerana sentiasa terkenang pengalaman jijik ketika kecil.
Di sebuah kedai mamak di kampung halamannya, Chef Wan melihat bagaimana mamak memasak di dapur yang kotor dan selamba menghembus hingus ke lantai sebelum mengesatnya di kain pelekat sebelum menyambung semula membuat rojak.
Sejak itu kata Chef Wan, dia tak pernah lagi jejakkan kaki ke kedai mamak sampailah semalam. Itu pun semata-mata kerana hendak menunjukkan gaya hidup makan lewat malam di negara ini kepada rakannya dari luar negara.
 
Nampaknya pengalaman Chef Wan bersama kedai mamak memang menjijikkan tapi tak dapat dinafikan, banyak juga kedai mamak pada hari ini yang amat bersih dan sedap makanannya.
Apa pun, diharapkan teguran Chef Wan ini diberikan perhatian oleh segelintir kedai mamak yang kotor dan tidak sedap makanannya untuk meningkatkan kualiti mereka.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”