Thursday 6 March 2014

Selangor sumbang RM20,000 kepada anggota polis maut diserang hendap (Video)

SHAH ALAM 5 MAC: Kerajaan Selangor menyerahkan sumbangan RM20,000 kepada keluarga Koperal Raja Aizam Raja Mohd yang terbunuh selepas diserang hendap sekumpulan warga asing di Taman Sentosa, Klang semalam.
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata sumbangan itu hasil peruntukan Tabung Wira Negara yang diwujudkan ketika insiden Lahad Datu.
Bercakap pada sidang media hari ini, beliau berkata, sumbangan itu suatu insentif kepada insan yang bertarung nyawa mempertahankan keselamatan rakyat dan negeri ini.
“Takziah kepada keluarga Raja Aizam. Kita memandang berat hal itu kerana mereka cedera ketika melindungi keselamatan orang ramai,” katanya.
Selain Raja Aizam, sumbangan RM10,000 turut diberi kepada Koperal Mohd Aidil Mustafa yang cedera dalam kejadian sama dan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Bantuan itu hasil peruntukan Tabung Wira Rakyat Selangor berjumlah RM10 juta yang diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membantu ahli keluarga anggota keselamatan.
Raja Aizam, 53, cedera di kepala, maut ketika dalam perjalanan ke HTAR selepas diserang dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi semalam.
Mereka yang bertugas dalam unit kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, diserang ketika meronda di Lorong Yusuf Shahbudin 44D, Taman Sentosa.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”