Kuala Lumpur: “Kami tidak ditaja untuk berkomplot dengan mana-mana pihak untuk melakukan protes terhadap kepimpinan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia). Kami lakukan ini hanyalah atas dasar tanggung jawab sebagai penyokong.”
Itu kenyataan penggerak Ultras Malaya yang menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mereka ‘diupah’ untuk melakukan kekecohan bagi mencemarkan imej FAM.
Ada pihak menganggap wujudnya individu tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh dengan menggunakan Ultras Malaya bagi mencemarkan imej kepimpinan FAM untuk mencari peluang menjelang kongres pemilihan badan induk itu pada 25 Mei ini.
“Protes terhadap FAM ini bukan baru setahun, dua, tapi sudah lama kami lakukan, cuma baru sekarang ramai pihak buka mata. Kami hanya bergerak sendiri, tidak ditaja mana-mana pihak. Kami akan teruskan usaha kami ini sehingga bola sepak negara kembali di tahap membanggakan,” katanya yang enggan namanya didedahkan.
Sebelum ini, Ultras Malaya sudah beberapa kali menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan FAM dengan mempamerkan kain rentang sambil bersorak mengejek FAM dalam beberapa perlawanan membabitkan skuad kebangsaan namun kemuncak kemarahan kumpulan penyokong itu tercetus di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Sabtu lalu.
Pada aksi persahabatan antarabangsa antara Malaysia dengan Filipina itu, hampir 1,000 Ultras Malaya membakar suar dan membaling bom asap ke dalam padang pada minit ke-30 sehingga memaksa perlawanan dihentikan selama lapan minit.
Ultras Malaya mengakui, mereka sengaja mencetuskan kekecohan itu sebagai tanda protes kepada kepimpinan selama 30 tahun Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.
Ketika ditanya mengenai kesediaan Ultras Malaya untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan FAM bagi menjernihkan keadaan, penggerak Ultras Malaya itu berkata, perkara itu dilakukan sebelum ini namun semuanya seperti sia-sia.
“Kami bersedia bertemu Menteri (Khairy) tapi apa jaminan beliau kepada kami? Adakah beliau boleh beri jaminan bola sepak Malaysia akan berubah dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang. Sebelum ini kami sudah bertemu dengan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (bekas Menteri Belia dan Sukan) tapi tiada perubahan.
“Kalau ingin berbincang dengan FAM, saya rasa sudah terlambat kerana tiga kali kami bertemu dengan mereka dengan cadangan dan memorandum sudah diberikan, tapi apa yang mereka buat?” Mengenai kemungkinan mereka akan bertindak agresif lagi selepas ini, dia berkata, apa yang dilakukan di Stadium MPS Sabtu lalu hanyalah sekadar peringatan mengenai sejauh mana penyokong boleh bertindak.
“Itu sekadar peringatan mengenai protes, kami juga tahu peraturan. Takkan setiap minggu kami mahu melakukan kekecohan, tapi kami akan teruskan usaha ini untuk menuntut perubahan bukan saja di dalam stadium malah melalui cara lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment