Friday 1 June 2012

Jawatankuasa khas siasat kemalangan drag di Putrajaya



PUTRAJAYA - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat kemalangan semasa sesi ujian perlumbaan drag pada Himpunan Jutaan Belia di sini baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, jawatankuasa khas itu akan turut dianggotai wakil Persatuan Permotoran Malaysia dan Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

"Perkara itu telah dibincangkan dan mendapat persetujuan Kabinet semalam (kelmarin), jadi sehingga hasil siasatan dikeluarkan, saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tiga mangsa kejadian itu yang masih menerima rawatan di Hospital Putrajaya semalam.

Dalam kejadian pada 27 Mei lepas, seramai 17 penonton cedera termasuk empat parah apabila sebuah daripada kereta yang mengambil bahagian dalam acara itu terbabas semasa sesi ujian sebelum perlumbaan sebenar bermula.

Ahmad Shabery berkata, kementerian bersedia mengambil segala tanggungjawab walaupun banyak langkah keselamatan telah diambil termasuk penyediaan ambulans.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”