Friday 1 June 2012

Shuib (Sepahtu) Bintangi Filem “Man Sewel Datang KL”







Bukan nak memperlekehkan kejakunan orang kampung ketika mereka menjejakkan kaki buat kali pertama ke kota metropolitan, Kuala Lumpur. Jauh sekali mahu menghina mereka yang menetap di kampung. Ini hanyalah interpretasi seorang pengkarya terhadap subjek utama filem ini yang digambarkan sebagai seorang lelaki kampung yang berperangai gila-gila atau lebih tepat dengan gelaran ‘sewel’ menyampaikan keterujaannya apabila pertama kali sampai ke Kuala Lumpur. Sudah tentu elemen komedi bakal menguasai hampir keseluruhan jalan cerita kerana pemegang watak ‘Man Sewel’ itu ialah salah satu anggota kumpulan lawak popular Malaysia, Shuib ‘Sepahtu’.

Filem ‘Man Sewel Datang KL’ ini menyentuh kisah seorang pemuda kampung, Osman atau Man (Shuib ‘Sepahtu’) yang mengikuti teman sekampungnya, Salim (Razali Hussain) pulang ke KL. Man yang sememangnya berperangai gila-gila sangat teruja apabila tiba di KL. Man tinggal bersama Salim yang banyak mengajarnya selok belok kehidupan di KL. Namun, segalanya berubah apabila Man mula mengenali kawan Salim iaitu Nadia (Julia Ziegler). Banyak duit perbelanjaan yang diberikan ibu Man dihabiskan untuk Nadia.

Apabila ibunya menyekat duit perbelanjaan Man, Man mula terpaksa mencari sumber rezekinya sendiri di KL. Nadia pula semakin tamak meminta duit dari Man. Man akhirnya pulang ke kampung namun hampa apabila mengetahui teman istimewanya, Siti Khadijah (Rafidah Ibrahim) sudah menjadi milik orang lain. Pulang ke KL semula, Man dikejutkan dengan tuduhan seorang lagi teman sekampungnya yang mengatakan Salim mempunyai muslihat jahat terhadap Man.

Selain Shuib ‘Sepahtu’, Razali Hussain, Julia Ziegler dan Rafidah Ibrahim, filem ini turut dijayakan oleh pelawak wanita terkenal, Rosnah Mat Aris dan penampilan istimewa, isteri Shuib sendiri iaitu Siti Sarah Raisudin. Bakal menemui penonton pada hari ini (31 Mei), filem komedi ringan yang mempunyai mesej kebaikan yang ingin disampaikan tentu akan menghiburkan penonton yang inginkan hiburan santai. Selain itu, penonton juga berpeluang menyaksikan kumpulan May yang turut membuat penampilan khas melalui filem ini. Lebih bermakna, satu peratus dari tiket pembelian penonton untuk filem ini akan disumbangkan kepada Tabung 4B Prihatin. Selamat menonton sambil menderma!


No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”