Thursday 17 January 2013

‘Saya boleh pergi sendiri’


Kangar: “Jika benar kenyataan saya salah, tak perlu siasat dan dihukum, cuma beritahu dan saya boleh ‘blah’ sendiri.”

Begitu tegas Datuk Seri Shahidan Kassim ketika mengulas laporan beliau mungkin dikenakan hukuman di bawah Artikel 88, nasib sama menunggunya seperti Timbalan Presiden, Tan Sri Annuar Musa, apabila mengeluarkan pendapat mengenai perlunya transformasi dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


Shahidan yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) bagaimanapun menjelaskan beliau sebenarnya hanya mengharap ihsan FAM bagi membantu pasukan seperti Singa Utara kerana mereka tidak mempunyai kewangan kukuh selain menyuarakan pandangan mengenai gejala bookie dan bukannya mengutuk badan induk itu.

“Transformasi itu bermaksud meminta FAM memberi bantuan serta menentang bookie dan (pada masa sama) saya juga secara terang-terangan menyatakan sokongan kepada Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.

“Transformasi yang saya maksudkan dalam FAM itu adalah bantuan kepada persatuan bola sepak yang mempunyai masalah kewangan. Bagi saya, bagaimana pasukan yang dibina dengan kos RM2 juta hendak menyaingi pasukan dibentuk dengan kos RM5 juta? Jurang perbezaan itu sangat besar.


“Justeru, FAM perlu memainkan peranan dengan melaksanakan tindakan tertentu agar persatuan yang kurang sumber kewangan dapat bersaing dengan mereka yang setaraf kewangannya, itu saja,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kangar, Perlis, semalam.


Datuk Seri Shahidan Kassim

Selain itu, Shahidan berkata, kenyataannya juga mahukan agar orang yang berada di luar menghentikan kutukan serta cacian kepada FAM kerana ia tidak menyumbang apa-apa disebabkan kuasa untuk perubahan hanya bergantung kepada mereka di dalam.


“Saya hanya mengingatkan apabila pemilihan dibuat, undi hanya dikira daripada kalangan wakil FAM dan persatuan negeri dan mereka yang bersuara di luar tidak akan memberi kesan kepada FAM. Mengapa saya perlu berdepan dengan hukuman semata-mata kerana mengeluarkan pendapat sebegitu? “Jika sokong salah, tak sokong salah, apa yang saya harus buat? Jika memohon bantuan juga salah, beritahu saya sebabnya dan saya akan tarik diri (meletak jawatan), tak payah susah-susah ambil tindakan,” katanya. Menurut bekas Menteri Besar Perlis itu, beliau sedih dengan apa yang berlaku apabila melihat banyak pihak memegang sepanduk serta melakukan pelbagai perkara lagi untuk mendesak perubahan dalam FAM.

Shahidan yang menganggap dirinya sebagai penyokong utama Presiden FAM kerana percaya terhadap kemampuan beliau mentadbir FAM dengan berkesan bagaimanapun tetap mahukan badan induk bola sepak negara itu membuat transformasi, termasuk memperkasa persatuan bola sepak negeri.


Katanya, setakat ini, beliau belum dihubungi pihak FAM berhubung ‘kelantangannya’ itu.


Semalam, Arena Metro melaporkan Shahidan bakal berdepan tindakan disiplin berikutan tuntutannya terhadap transformasi kebajikan persatuan negeri daripada FAM.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”