Thursday, 17 January 2013

Tidak tumpang populariti



PELAKON popular yang berasal dari Singapura, Aaron Aziz tidak perlu diperkenalkan lagi kepada peminat industri hiburan tanah air, malah mereka yang tidak mengikuti senario hiburan tempatan juga pastinya mengenali figura bertubuh sasa ini.

Pastinya kerana populariti Aaron akan membuat mana-mana pelakon wanita ingin berganding dengannya melalui drama televisyen mahupun filem kerana ia secara tidak langsung bakal meningkatkan populariti mereka.

Sungguhpun begitu, bukan semua wanita yang menjadi gandingan pelakon kacak berusia 36 tahun ini mendapat tempias seperti itu. Ini kerana hanya segelintir yang berjaya menonjolkan keserasian bersama Aaronm antaranya Siti Saleha melalui drama Nora Elena.

Kini, muncul seorang lagi aktres wanita yang mana gandingannya bersama pelakon kacak itu berjaya memukau peminat sehingga menaikkan namanya sebaris dengan pelakon popular wanita lain sungguhpun sebelum itu dia masih kurang dikenali.

Melalui drama Adam & Hawa yang bersiaran selama 80 episod sebelum ini, nama pelakon Nadiya Nisaa meningkat naik dengan pantas justeru menimbulkan banyak persepsi kurang baik daripada peminat industri tempatan.

Terdapat cakap-cakap yang bertanyakan adakah Nadiya menumpang populariti dimiliki Aaron bagi menaikkan namanya. Ini kerana sungguhpun pernah memenangi anugerah Pembantu Wanita Terbaik Filem pada Anugerah Skrin 2011 melalui filem Cun, Nadiya masih kurang dikenali.

Nadiya juga pernah mengulas bahawa dia tidak kisah cakap-cakap negatif orang sekeliling. Sama ada dia menumpang populariti Aaron atau, hakikatnya watak itu diberikan kepadanya atas kualiti lakonan dimiliki.

“Biarlah apa orang nak kata, sebelum ini juga orang mengatakan saya tidak layak untuk berganding dengan dia kerana tidak popular sepertinya. Saya juga dikata tidak secantik artis wanita lain.

“Pastinya ada sebab mengapa pihak produksi memilih saya untuk memegang watak itu dan selepas tamat 80 episod. Saya yakin penonton sudah boleh menerima saya seadanya," jelasnya.

Seperti pernah dilaporkan dahulu, Nadiya turut berkata watak Ain Hawani yang dimainkannya menurut novel tersebut merupakan seorang gadis lepasan sekolah yang mempunyai penampilan dan raut wajah yang sederhana.

“Mungkin atas sebab itu jugalah saya menjadi pilihan mereka untuk membawakan watak tersebut, mungkin kerana wajah dan fizikal saya menepati karektor terbabit," jelasnya yang bersyukur kerana dipilih menjayakan watak tersebut.

Ternyata keputusan yang dibuat tenaga kerja produksi drama tersebut tepat apabila gandingan antara mereka berdua memberikan impak positif sehingga melonjakkan lagi populariti drama yang dihasilkan berdasarkan novel terlaris Aisya Sofea.

Menurut Nadiya atau nama sebenarnya Nadiyatul Nisaa’ Kamaruddin, dia sendiri tidak tahu mengapa lakonannya di dalam drama tersebut menimbulkan persepsi bahawa gandingan mereka di layar kaca serasi bersama.

“Sejujurnya, saya juga tidak pasti apakah yang membuatkan penonton berasa gandingan antara kami serasi, ini kerana dalam drama tersebut, kami lebih banyak bertengkar antara satu sama lain.

“Jika dilihat kembali, hanya pada akhir-akhir sahaja baru kami menunjukkan sikap seperti pasangan yang saling mengasihi kerana sebelum itu, ia berbeza sama sekali.

“Mungkin juga kerana babak-babak sedemikian menjadikan lakonan kami tampak dekat dengan situasi sebenar yang menjadikan ia lebih berkesan kepada penonton," jelas wanita berusia 27 tahun itu lagi.


No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”