Thursday 17 January 2013

Zulkifli dapat Datuk


Sekalung tahniah SS ucapkan buat artis veteran dan aktivis tarian, Zulkifli Zain yang bakal dianugerahkan Darjah Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Datuk pada 20 Januari ini.

Dalam kiriman Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada rakan SS pada jam 4.25 petang, Sabtu lalu, beliau yang membahasakan dirinya sebagai Abang Zul berkata, majlis penganugerahan itu akan berlangsung jam 9 pagi.


“Salam, Syukur Alhamdulillah! Tak sia-sia aku membabitkan diri dalam pelbagai bidang seni seperti seni tari, teater, drama, TV, filem dan radio serta pernah menjadi duta kecil ke luar negara dengan rombongan kebudayaan, wakil negara ke festival filem dan juga Festival Teater Asean. Perjuangan dan pengorbanan aku selama ini dihargai. Terima kasih kerana menyokong aku selama ini.” Itulah kandungan SMS daripada Zulkifli yang diterima rakan SS.

Apapun, SS tumpang gembira kerana akhirnya sumbangan beliau dalam dunia seni tempatan lebih empat dekad akhirnya mendapat pengiktirafan. Zulkifli yang dilahirkan pada 4 Julai 1944 di Kampung Titi Gajah, Alor Star, Kedah, yang juga pemilik nama sebenar, Zulkafli Md Zain banyak memberi sumbangan dalam memperkenalkan tarian tradisional ke mata dunia.


Zulkifli adalah bapa kepada aktivis dan pengarah teater terkenal, Norzizie dan suami kepada artis pelakon Normala Omar.


Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kesenian, memulakan kerjaya sebagai penari sekitar awal 70-an di Kementerian Kebudayaan dan Kesenian sebelum dilantik sebagai jurulatih.

Sebelum ini, dia juga mendalami bidang tarian di peringkat sijil di Akademi Seni Karawitan Indonesia (AKSI) pada 1976 disusuli Universiti Sains Malaysia (USM) sekitar 1985.

Beliau juga aktif berlakon dari 1975 sehinggalah sekarang. Antara lakonannya yang masih diingati peminat filem tempatan ialah Matinya Seorang Patriot, Penentuan, Anak Sulung Tujuh Keturunan, Potret Maria, Sesejuk Air Mata Ibu, Tiada Esok Bagimu, Sayang Anakku Sayang, Jiwa Remaja dan banyak lagi.


SS: Terkilan bila ada artis yang sumbangannya tidak seberapa dan masih ‘hijau’ dalam industri seni tapi sudah mendapat gelaran Datuk.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”