Thursday, 17 January 2013
Mama jaga 'anak-anak' ayam
Sejak dilahirkan Fatimah (bukan nama sebenar), 64, tidak pernah mempunyai kad pengenalan diri sehingga ke hari ini. Menyedihkan, namun itu cuma salah satu daripada kisah duka dalam hidupnya.
Ada cerita yang lebih pilu dipendam sejak sekian lama. Pada usia yang selayaknya dipanggil nenek, dia masih bergelumang dengan najis dadah sebagai penagih tegar.
Bukan sahaja terlibat dengan najis dadah sejak berumur 21 tahun, malah dalam masa yang sama juga dia adalah antara pekerja seks yang paling lama bertapak di Jalan Chow Kit dan sekitarnya.
Sepanjang hidupnya juga, dia tidak seperti orang lain kerana sejak dari kecil jiwanya sering memberontak kerana ayahnya terlalu garang dan sering memukulnya.
Fatimah juga tidak pernah dihantar ke sekolah seperti adik-adiknya yang lain menyebabkan dia seringkali berasa tersisih daripada keluarga sendiri.
Cerita Fatimah, tiada kenangan yang indah dalam hidupnya, kerana sejak berumur 13 tahun dia sudah hidup berdikari dan berseorangan di bandar besar, Kuala Lumpur.
"Ketika berumur 13 tahun, ayah telah mengahwinkan mak cik dengan lelaki pilihannya. Walaupun tidak suka, makcik terpaksa bersetuju dengan perkahwinan itu kerana takut untuk menolak kehendak ayah.
"Akhirnya perkahwinan yang diikat atas paksaan itu hanya bertahan selama dua bulan sahaja. Apabila ayah mengetahui tentang perceraian tersebut dia naik angin dan memukul makcik dengan teruk," kata wanita kelahiran Kuala Krai, Kelantan ini yang membahasakan dirinya sebagai makcik.
Menurut Fatimah, belum pun kesedihan hilang kerana perceraian tersebut, bapa saudara sebelah ayahnya pula ingin menjodohkan dengan rakan lamanya.
Keadaan itu menyebabkan jiwanya sangat marah dan memberontak.
"Kerana ingin mengelak daripada dikahwinkan buat kali kedua, akhirnya makcik mengambil keputusan melarikan diri ke Kuala Lumpur.
"Ketika itu, mak cik langsung tidak memikirkan keselamatan diri. Apa yang difikirkan ialah menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa kahwin paksa buat kali kedua," katanya.
Tambah Fatimah, apabila sampai di Kuala Lumpur dia telah berkenalan dengan seorang wanita separuh usia di Jalan Chow Kit.
Wanita tersebut yang dipanggil 'mami' yang berperanan membawanya mengenali kehidupan sebagai seorang pelacur.
"Pertama kali di paksa menjual tubuh, makcik tiada pilihan untuk menolak kerana ketika itu saya banyak bergantung pada mami. Dia membantu saya meneruskan hidup.
"Bayangkanlah, dalam usia 13 tahun apa pekerjaan yang boleh mak cik buat, tambahan ketika itu tiada saudara mara yang dikenali untuk meminta bantuan.
"Jadi apabila mami datang menghulurkan bantuan, maka mak cik terpaksa menerimanya walaupun ketika itu hati sangat takut untuk melakukan kerja tersebut," katanya.
Dalam tempoh dia bekerja sebagai pelacur, Fatimah telah mengenali seorang anggota pasukan keselamatan yang juga menjadi pelanggan tetapnya.
"Dia telah menawarkan diri untuk membantu mak cik melarikan diri dari cengkaman mami tapi dengan syarat makcik perlu menjadi wanita simpanannya.
"Makcik terima pelawaan tersebut, kerana terasa lebih selamat dan terjamin apabila bersama-sama dengannya. Lagipun, mak cik hanya perlu melayan dia seorang berbanding jika terus menjadi pelacur.
"Hampir dua tahun mak cik menjadi wanita simpanannya sehinggalah lelaki tersebut terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia di Johor," katanya.
Selepas kematian lelaki tersebut, hidupnya kembali tidak terurus dan tiada tempat bergantung, tambahan pula untuk kembali ke kampung perasaan takut masih menghantui diri terhadap keluarganya.
"Untuk menyara kehidupan di kota raya memerlukan banyak wang, tidak ada pekerjaan yang mampu mak cik lakukan ketika usia baru mencecah 18 tahun.
"Tanpa berfikir panjang, mak cik kembali memilih jalan hitam menjual diri dan menjadi pelacur di Jalan Chow Kit. Kegiatan tersebut berlarutan sehinggalah umur mencecah lewat 50-an," katanya.
Dalam tempoh yang sama, dia juga mula mengambil dadah jenis heroin ketika usianya mencecah 21 tahun.
"Kalau tak kerja tak ada duit nak beli bekalan dadah. Jadi, wang hasil aktiviti menjual tubuh itu, mak cik gunakan untuk membeli dadah.
"Sepanjang tempoh tersebut juga mak cik telah keluar dan masuk penjara sebanyak sembilan kali. Tiga kali daripadanya adalah disebabkan tidak mempunyai kad pengenalan diri," katanya.
Fatimah berkata, daripada bermula sebagai seorang pelacur sehinggalah pada satu peringkat dia bertukar status sebagai 'ibu ayam'.
Jadi ibu ayam tak susah. Kami ada gelaran tersendiri. Saya orang selalu panggil dengan gelaran 'mama'. Pendapatannya pun lebih lumayan dari kebiasaan. Setiap malam kami perlu mencari pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat dari 'anak-anak ayam' yang dijaga.
"Harga yang kami tetapkan pula bergantung kepada usia pelacur. Kalau masih muda, cantik dan bergetah bolehlah harganya tinggi sikit dalam RM 70 untuk setiap layanan yang diberikan. Kalau usia meningkat dan biasa-biasa sahaja orangnya harga pun turut berkurang," katanya.
Ditanya, perkembangan terbaru Fatimah, mengakui lebih lima tahun lepas dia sudah berhenti dari dunia kegelapan tersebut.
"Sekarang mak cik hanya mengambil dadah sahaja. Dunia menjual tubuh dan menjadi 'ibu ayam' sudah lama ditinggalkan. Tambahan dengan usia seperti sekarang sudah tidak ada pelanggan yang berminat.
"Untuk menampung kehidupan di kota raya, mak cik ada mengambil upah mencuci pakaian dan mencuci pinggan di rumah-rumah sekitar Kampung Baru. Syukur, buat masa ini pendapatan yang diperolehi cukup-cukup makan sahaja," katanya.
Mengakhiri perbualan dengan Fatimah, dia mengakui baru sahaja pulang dari melawat keluarganya di kampung.
"Mak cik bersyukur kerana keluarga sudah menerima kembali dan mereka dapat memaafkan kesalahan yang pernah mak cik lakukan dahulu," katanya.
Labels:
News
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment