Thursday, 17 January 2013
Makcik pun nak ‘sponsor’ juga?
Cerita pereka fesyen atau butik menaja artis kita bukanlah cerita baru. Ada artis kuat minta tajaan dan jarang sekali reti membeli baju. Kata orang sekarang semua nak percuma ‘fru fry’ (free). Asalkan ada ‘show’ atau anugerah besar, mereka mulalah cari tukang jahit terkenal atau pereka fesyen untuk minta ‘baju sponsor’.
Ini episod terbaru SS dengar mengenai artis dan baju tajaan. Ada seorang artis yang baru-baru ini dikatakan bersikap beri betis nak peha.
Sebelum ini dia memang pernah ditaja oleh sebuah butik yang baru hendak mencipta nama jadi hubungannya dengan pereka fesyen itu memanglah baik.
Namun apabila sudah baik, satu hari artis itu tiba-tiba cuba ambil kesempatan. Datang ke butik itu bukannya hendak minta baju ‘sponsor’ untuk dirinya macam biasa tapi untuk makciknya pula yang khabarnya hendak berkahwin.
Amboi-amboi, soalan cepumas SS, “Makciknya awak tu Jaya Bachchan ke?”
Mendengar permintaan artis itu, pereka fesyen itu terus terkedu sekejap. Namun hatinya mulia sebab permintaan itu tetap dipenuhi atas dasar persahabatan.
Lalu dia pun memberikan baju yang dikehendaki kepada makcik artis itu yang nampak sungguh berpinar-pinar matanya kerana bakal bergelar pengantin baru. SS pun lupa nak tanya berapa usia makcik artis itu namun tetap bersikap optimis kerana jodoh sekarang tak kenal usia.
Apabila sudah mendapat apa yang dihajati mereka pun pulang dengan gembira. Habis saja majlis itu tibalah masa untuk memulangkan baju pinjam itu kepada tuan punya butik berkenaan. Alangkah remuk redam hati pereka fesyen itu apabila baju ‘vogue’ yang dipinjam itu hanya diletak dalam beg plastik biasa-biasa saja. Bukan sebab beg plastik biasa-biasa itu, lebih penting tidak tahukah hantar kepada cucian kering (dry clean) dulu?
Habis, segala peluh yang melekat pada baju itu takkanlah bertukar menjadi kristal Swarovski? Hantar baju ke cucian kering pun kena diajar ke kakak?
Aduh, begitulah antara dugaan dan asam garam orang jadi tukang jahit dan buka butik. Kalau kena 10 pelanggan macam begitu, alamat hari-hari cucuk benang pun dah tak masuk dalam lubang jarum walaupun jarum gajah!
SS: Borong baju masa ada jualan (sale). Kalau rasa hendak ‘vogue’ sikit cari tukang jahit Kak Juriah dekat kampung tu.
Labels:
News
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment