Thursday, 17 January 2013
Saya 'dibelasah' teruk - Dharma
DHARMA Harun Al-Rashid kecewa dengan industri perfileman tanah air sejak kebelakangan ini. Pelakon era 1980-an ini hairan dengan sokongan para penonton terhadap filem pertama arahannya berjudul Adik Manja Returns (29 Tahun Kemudian) yang telah ditayangkan di pawagam-pawagam sejak 20 Disember lalu.
Filem sekuel Adik Manja lakonannya yang pernah ditayangkan di pawagam pada 1980 itu gagal mencapai sasarannya daripada segi kutipan tiket dan bilangan penonton yang menyaksikannya di 45 pawagam seluruh negara selama dua minggu.
Menurut pelakon dan pengarah berusia 55 tahun ini, dia hairan bercampur kecewa kerana Adik Manja Returns yang diterbitkan oleh syarikat produskinya, Adik Manja Sdn. Bhd. itu gagal meskipun majoriti para peminat terhibur menyaksikannya di pawagam.
Ikuti luahan hati Dharma kepada Hits dan sebab mengapa dia begitu kecewa dengan apa yang telah berlaku ke atas filem dengan kos RM1.5 juta itu.
Hits: Mengapa anda hairan apabila Adik Manja Returns tidak mendapat sambutan para penonton?
Dharma: Saya hairan kerana semua maklum balas yang saya terima dalam Facebook memuji mengatakan filem ini sangat menghiburkan. Tidak ada satu pun komen yang negatif. Malah, saya sendiri turun padang pergi panggung wayang dan nampak penonton ketawa menyaksikannya. Cuma bilangan penonton sahaja yang tidak ramai.
Ketawa, bukan bermakna terhibur, bukan?
Entahlah, saya dapat tahu ketika itu ditayangkan serentak ialah filem Jack Reacher lakonan Tom Cruise dan CZ12 lakonan Jackie Chan. Saya anggap tayangan serentak dan persaingan dengan filem gergasi seperti itu menjadi sebabnya. Apatah lagi, apabila ada berita mengatakan CZ12 adalah filem aksi terakhir Jackie Chan maka itu juga menjadi daya penarik selain pelakon seperti Tom Cruise dalam Jack Reacher.
Jadi, anda menyalahkan kekuatan dua filem import itu sebagai punca gagal?
Saya tidak kata filem saya gagal kerana tidak ada kualiti atau tidak mampu menarik perhatian para penonton. Buktinya daripada puluhan malah ratusan komen yang saya terima dalam Facebook menjadi buktinya. Saya juga telah pergi hingga ke Johor Bahru, Melaka dan Pulau Pinang bagi melihat respons para penonton. Cuma kerana adanya dua filem import itu yang tentunya lebih besar bajet serta promosinya menyebabkan filem saya tersepit. Dalam hal ini saya anggap Jackie Chan dan Tom Cruise telah 'membelasah' saya. Sudahlah mereka itu gergasi tetapi dua lawan satu, matilah saya.
Ada cadangan bagi mengatasi masalah sebegitu terus menimpa filem kita?
Saya rasa antara puncanya ialah apabila sistem dua filem tempatan ditayangkan serentak dalam satu minggu. Kalau boleh biarlah ada ruang untuk filem tempatan bersaing dengan filem-filem import secara sihat. Kita memang tidak patut mengurangkan bilangan filem tempatan tetapi pada masa sama filem import patut diberi ruang tayangan yang lebih adil dan sesuai bagi bersaing dengan filem tempatan. Tarikh dan waktu tayangan juga harus diambil kita supaya tidak berlaku pertembungan seperti ini. Sekarang yang menjadi mangsa ialah filem kecil seperti saya. Buatlah filem sehebat mana sekalipun tetapi kalau ia bersaiz seperti filem saya, macam mana hendak bersaing dengan filem gergasi?
Sehingga hari ini, anda masih mengatakan Adik Manja Returns sebuah filem yang menarik?
Saya telah banyak membuat kajian untuk memuatkan pelbagai elemen dalam filem itu seperti unsur komedi, drama, nasihat dan juga komersial. Saya juga bertanya dan minta pendapat ramai orang sebelum dan selepas menyudahkan filem ini. Contohnya saya tanya jurutera bunyi filem ini dan secara jujur dia kata filem ini ada semua resipi untuk menjadi sebuah filem yang berjaya di pawagam. Tetapi kerana sebab-sebab yang saya sebutkan itu ia gagal mencapai matlamatnya. Saya buat filem ini bukan sebab syok sendiri tetapi dengan kajian yang menyeluruh. Saya sampaikan pergi ke Universiti Malaya minta pendapat para pensyarah tentang masalah antara mereka dengan para pelajar seperti yang saya paparkan dalam filem ini. Semua itu adalah fakta dan berdasarkan realiti semasa.
Adakah anda akan serik untuk menerbit serta mengarahkan filem lagi selepas ini?
Saya belum serik. Saya akan menerbit dan mengarahkan filem lagi selepas ini. Selepas ini saya ada sebuah lagi filem genre komedi yang akan saya terbitkan. Cuma selepas ini saya kena lebih berhati-hati, kena pastikan bilakah tarikh tayangan filem itu. Yang paling penting filem manakah yang akan bersaing tayangannya dengan filem itu nanti, kena tahu sebagai langkah selamat.
Labels:
Sensasi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment