Thursday, 17 January 2013

Stesen minyak Dirempuh Pemandu Wanita



Pekerja sebuah stesen minyak di Kampung Pintu Geng di sini, berdepan dengan detik kecemasan apabila kedai serbaneka di premis tersebut  dirempuh oleh sebuah kereta kira-kira jam 10.45 pagi semalam.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu oleh seorang wanita yang berusia 46 tahun hilang kawalan lalu merempuh premis tersebut selepas mengisi minyak.

Rempuhan tersebut mengakibatkan pintu hadapan premis serbaneka itu pecah dan turut merosakkan sebahagian barangan yang ada di dalamnya.

Bagaimanapun, difahamkan pemandu kereta tersebut hanya mengalami kecederaan ringan dan mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

Pekerja stesen minyak, Norhanim Nadia Khalid, 24, berkata, semasa kejadian itu dia sedang bertugas bersama rakannya, Nik Nur Haslinda Nik Hashim, 18, di kaunter bayaran.
“Kejadian itu berlaku dengan cukup pantas tanpa kami sedari dan pada awalnya saya menyangka pam meletup.

“Sehinggalah saya ternampak sebuah kereta sudah berada di dalam premis ini,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, ekoran kejadian tersebut dia dan rakannya itu terpaksa merangkak keluar untuk menyelamatkan diri.

Dia berkata, ketika kejadian tersebut berlaku tiada pelanggan yang berada di dalam premis serbaneka tersebut.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”