Monday 7 January 2013

Gangguan air Lembah Klang belum pulih sepenuhnya



Kuala Lumpur: Gangguan bekalan air di beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang yang berlaku sejak 29 Disember lalu belum pulih sepenuhnya sehingga semalam.

Gangguan berkenaan menyebabkan banyak rutin harian penduduk sukar diteruskan kerana ketiadaan air yang menjadi asas kepada kehidupan.


Penduduk di Pandan Jaya, Ampang, Norlia Ali, 45, berkata, ketiadaan air yang berlaku menimbulkan kesusahan kepada penduduk untuk melakukan pelbagai aktiviti harian seperti membasuh dan memasak.

“Bila air tiada urusan harian seperti memasak dan membasuh tidak dapat dilakukan, saya terpaksa membeli makanan dari restoran dan hanya makan roti serta sukar untuk menjalani kehidupan seharian terutama ketika hendak menggunakan tandas.


“Kehidupan sangat sukar kerana air menjadi keperluan asas kita dan ketiadaan air menyebabkan kehidupan terganggu,” katanya.


Peniaga makanan di kawasan sama, Muhammad Izzul Hakim, 23, berkata, ketiadaan air menyukarkannya menjalankan perniagaan.

“Ketiadaan air menyebabkan saya terpaksa membawa bekalan air dari rumah ke kedai yang digunakan untuk memasak dan membersihkan pinggan mangkuk,” katanya. Pengusaha restoran di Taman Cahaya, Ampang, Anuar Nasir, 27, berkata, masalah ketiadaan air menyebabkan terpaksa memulakan operasi perniagaan lewat daripada biasa kerana dia terpaksa menguruskan bekalan air pada sebelah pagi.


“Masalah air memberikan kesukaran pada saya untuk menyediakan makanan pada waktu tengah hari kerana kebiasaan saya membuka restoran pada jam 12 tengah hari. Kadang kala saya terpaksa membuka kedai lewat kerana membuat persediaan untuk jualan disebabkan masalah air yang kami hadapi sekarang.

No comments:

OhJobs : Info Kerja Anda ”infotech@fuzore”